Wednesday, 13 May 2015

Analisis Teks Moden Ranjau Sepanjang Jalan

1.0 Pengenalan
Sasterawan Negara Shahnon Ahmad merupakan pelopor sastera yang tidak asing lagi di Malaysia. Beliau telah menulis berbagai karya yang bermutu dan banyak menceritakan mengenai isu yang berkait rapat dengan masyarakat di Malaysia. Shahnon Ahmad berasal daripada keluarga yang miskin dan hidup dalam suasana kampung yang miskin. Oleh sebab itu, kebanyakan karyanya terhasil daripada isu kemiskinan dalam masyarakat desa khususnya. Antara novel beliau yang diangkat menjadi karya agung ialah novel Ranjau Sepanjang Jalan. Novel ini mempunyai 341 halaman bercetak terbitan Alaf 21 pada 2006. Novel Ranjau Sepanjang Jalan terbitan Alaf 21 ini merupakan terbitan kedua setelah Utusan Publication menerbitkan novel ini pada tahun 1997. Novel ini mempunyai 24 bab yang menceritakan tentang kemiskinan dan perjuangan  keluarga petani sawah di Kampung BanggulDerdap, Sik Kedah.

Novel Ranjau Sepanjang Jalan ini memaparkan kepayahan dan kemiskinan keluarga petani. Isi kemiskinan ini sudah sebati dalam diri Shahnon Ahmad menyebabkan beliau mampu menerangkan sesebuah kisah dalam Ranjau Sepanjang Jalan dengan teliti sekali. Para pembaca yang membaca mampu merasai dan menghayati setiap perkara yang berlaku dalam keluarga petani dalam Ranjau Sepanjang Jalan. Novel ini juga mengetengahkan dan mendalami erti kasih sayang, kekuatan, kegigihan, ketabahan dan perjuangan di dalam sekelompok masyarakat tani di desa. Selain itu nilai kemiskinan melalui konsep kesederhanaan, ketakwaan, kesabaran, keikhlasan, dan kejujuran seseorang ketika mengalami kesukaran dalam menjalani kehidupan di dunia.
    
Novel Ranjau Sepanjang Jalan ini dihasilkan dengan plot yang sangat kreatif dan bermain dengan emosi pembaca sehingga menyentak akal fikiran masyarakat sekarang melalui kehidupan petani dahulu yang sanggup berjuang mencari sesuap nasi untuk diri sendiri malah perjuangan seluruh lapisan masyarakat setempat pada masa itu untuk mendapatkan sesuap nasi. Begitu kritis, sensitif dan pintarnya pemikiran Shahnon Ahmad sehingga dapat menggambarkan kesusahan hidup golongan miskin diseluruh negeri di Malaysia dengan begitu berkesan kepada pembaca.


2.0       Latar Belakang Penulis
Dato' Haji Shahnon bin Ahmad dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Sik, Kedah adalah seorang penulis Malaysia, mendapat gelaran Sasterawan Negara, serta bekas Ahli Parlimen Sik. Beliau dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada tahun 1982. Beliau juga merupakan seorang Profesor Emeritus di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Beliau kini menetap di 61, Cangkat Minden, Jalan 1, 11700 Gelugor, Pulau Pinang.

Beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar hingga lulus Sijil Persekolahan. Kemudian beliau menjadi guru di Grammar English School, Kuala Terengganu pada tahun 1954, kemudian menjadi Pegawai Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1955 sehingga 1956. Beliau kembali bertugas sebagai guru dan mengajar bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Gunung dan Sekolah Bukit Besar, Kedah dari tahun 1957 sehingga 1959. Pada tahun 1960, beliau menjadi guru bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid hingga tahun 1963. Kemudian beliau mengajar sastera di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim hingga tahun 1967. Pada tahun 1968, beliau berangkat ke Canberra, Australia dan bertugas sebagai Pegawai Penyelidik di Australian National University dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda pada 1971. Beliau kemudian menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Pada 1975, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sastera USM dan dilantik menjadi Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia USM pada 1979.

Shahnon giat menulis sejak pertengahan tahun 1950 dalam genre novel, cerpen, drama, kajian, esei dan kritikan serta wawancara. Antara novel terkenal beliau ialah Rentong, Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge, TIVI dan Shit. Antara anugerah yang pernah dimenangi beliau ialah Hadiah Karya Sastera (1971-1973), "Pejuang Sastera" oleh Perdana Menteri Tun Hussein Onn pada tahun 1976, Anugerah Sastera Negara (1982), dan Anugerah ASEAN II Kebudayaan, Komunikasi dan Persuratan Kesusasteraan (1990). Pada tahun 1980, beliau dianugerahi Pingat Darjah Kebesaran Datuk Setia Diraja Kedah oleh Yang Maha Mulia Sultan Kedah yang membawa gelaran Datuk. Gelaran Profesor Emeritus pula diterima daripada Universiti Sains Malaysia pada 11 September 1993.Antara novel yang beliau ialah Terdedah Melaka (1965), Menteri, Alor Setar, Protes (1967), Perdana (1969), Srengenge, Sampah (1974), Kemelut (1977), Seluang Menodak Baung (1978). Tunggul-tunggul Gerigis (1989), Ummi dan Abang Syeikhul (1992), Ibu Adalah Pentafsir dan Sungai (1995), terjemahan Stumps (1997) dan Shit.

3.0     Sinopsis Ranjau Sepanjang Jalan
Ranjau Sepanjang Jalan adalah satu karya dari Shahnon Ahmad yang banyak menyentuh tentang kemiskinan dan perjuangan  keluarga petani sawah di Kampung BanggulDerdep, Sik Kedah.  Berlatar belakang kampung halaman penulis sendiri Shahnon Ahmad, beliau membawa pembaca menghayati dan menginsafi keperitan hidup dalam kemiskinan golongan petani pada masa dahulu agar generasi sekarang akan sedar dan insaf akan susah payahnya untuk mendapatkan sesuap nasi. Melalui novel ini penulis berjaya mencipta satu plot yang penuh kreatif dan permainan emosi yang berjaya menyentak akal fikiran kelompok masyarakat sekarang yang mana petani dahulu sanggup berjuang untuk mencari sesuap nasi untuk diri sendiri malahan seluruh lapisan masyarakat setempat pada masa itu.

Kisah bermula daripada kehidupan keluarga Lahuma dan isterinya Jeha bersama tujuh orang anak gadis mereka iaitu, Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah, yang berjuang menguruskan sawah mereka sebanyak 14 relung sebagai satu kepentingan utama dalam kehidupan mereka. Walaupun untuk  satu musim hasil padi tidak boleh terkurang, padi menjadi segala-galanya, hidup mati mereka semuanya bergantung kepada hasil padi. Perjuangan Lahuma sebagai ketua keluarga cukup memberikan impak yang besar terhadap keluarganya. Sehingga akhirnya Lahuma kecundang akibat kakinya terpijak onak nibung yang meragut nyawanya sendiri. Kedaifan dan kesengsaraan keluarga petani ini bertambah buruk lagi setelah pemergian Lahuma. Maka Jeha, isteri Lahuma memikul tanggungjawab yang besar dan banyak menghadapi cabaran dan rintangan dalam mengusahakan sawah peninggalan suaminya. Sebelum itu, selalunya Lahuma mengerjakan sawah mereka dan dibantu oleh Jeha. Tetapi dengan ketiadaan Lahuma, Jeha bersama anak-anak perempuannya pula memikul beban mengerjakan sawah. Namun tenaga Lahuma tidak terganti walaupun dengan gabungan tenaga Jeha dan anak-anak perempuannya.

MalangnnyaJeha tidak dapat bertahan dengan segala kesusahan yang diharunginya sendirian tanpa Lahuma. Banjir, serangan ketam-ketam dan burung-burung tiak menjadikan Jeha tidak keruan dan akhirnya Jeha menjadi gila akibat dugaan mendatang tanpa henti semasa mengusahakan sawahnya. Setelah Jeha menjadi gila dan di hantar ke hospital Tanjung Rambutan, Perak, segala bebanan dan tanggungjawab keluarga diambil alih oleh anak sulungnya iaitu Sanah. Sanah  bersama adik-adiknya adalah penerus perjuangan Lahuma dan Jeha sebagai keluarga tani untuk menguruskan sawah mereka.

4.0     Pemikiran Isi Dan Mesej
Isi dan mesej bermaksud pemikiran yang diketengahkan oleh penulis dalam sesebuah karya. Isi dan mesej ini ialah salah satu ciri yang harus dimiliki oleh karya yang boleh diangkat dan dinobat sebagai sebuah karya agung ialah memiliki isi dan mesej yang baik dan bermanfaat. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ‘isi’ bermaksud sesuatu yang termuat dalam sesuatu benda, atau kandungan. ‘Mesej’ pula bermaksud sesuatu gagasan atau pengajaran yang hendak disampaikan dalam sesuatu karya sastera dan lain-lain. Oleh itu, isi dan mesej ialah sesuatu perkara yang termuat dalam sesebuah karya sastera yang menjadi pengajaran kepada pembaca. Terdapat banyak isi dan mesej yang sesuai dijadikan pengajaran kepada pembaca yang membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan.

4.1     Kehidupan sebuah keluarga yang bergantung kepada tanaman padi
Berdasarkan novel Ranjau Sepanjang Jalan, novel ini mengisahkan kehidupan sebuah keluarga yang bergantung kepada hasil tanaman padi. Secara keseluruhannya novel ini banyak menceritakan mengenai susah payah petani dari menebas semak sehingga menuai padi menjadi beras. Walaupun banyak dugaan yang menimpa, petani perlu bekerja keras dan memastikan padi dapat dituai pada masa yang telah ditetapkan. Dalam novel ini mengisahkan keluarga petani iaitu Lahuma dan isteri dan tujuh anaknya berhempas pulas memastikan padi mereka ditanam pada waktu yang ditetapkan agar mereka tidak ketinggalan oleh petani padi yang lain. Walaupun mereka tidak mempunyai jentera untuk membajak bendang mereka, tetapi dengan tulang empat kerat Lahuma dan sekeluarga, padi mereka tetap menghasilkan padi mengikut jadual. Pada setiap tahun Lahuma dan Jeha menanam padi mereka dan menghadapi pelbagai dugaan seperti kemarau, banjir, serangan haiwan seperti burung tiak, ketam, tikus dan ular berbisa. Petikan di berikut menunjukkan betapa pentingnya sawah padi kepada keluarga mereka,
Jeha teringat pesan Lahuma dulu, “Anak-anak kita perlu makan siang malam. Tak ada nasi anak-anak kta akan mati. Makan kita bergantung pada sawah. Pakaian bergantung pada sawah. Sakit atau sihat bergantung pada sawah. Mati hidup bergantung pada sawah.
        Sawah nadi besar kita sejak datuk nenek dahulu lagi. Ia mesti dipupuk dan dijaga. Biar siapa datang menyerang, kita wajib melawan. Biar siapa datang mengacau, kita wajib melawan. Biar datang seribu musuh, kita mesti lawan. Itulah hidup kita.”
(Ranjau Sepanjang Jalan:213)

Selain itu, akibat daripada tertusuk duri nibung, Lahuma terpaksa berehat dan meminta Jeha isterinya untuk menyambung mengerjakan 14 relung mereka sehingga siap. Setelah Lahuma meninggal dunia, Jeha telah mengambil alih menjadi ketua keluarga dan menjaga relung yang ditinggalkan oleh Lahuma untuk dikerjakan oleh Jeha dan anak-anaknya. Jeha dibantu oleh Tok Penghulu untuk membersihkan relung mereka sebelum menanam anak padi. Hal ini adalah bantuan setelah ketiadaan Lahuma dan sebagai membalas jasa Lahuma membantu Tok Penghulu menangkap Kerbau liarnya. Namun, Jeha tidak mampu bertahan dengan segala dugaan yang menimpa mereka sekeluarga setelah Lahuma meninggal dunia. Akhirnya Jeha menjadi gila dan tok penghulu dan orang kampung telah menghantar Jeha ke Hospital Tanjung Rambutan untuk rawatan. Petikan dibawah menceritakan mengenai Jeha yang terpaksa dibawa ke Hopsital Tanjung Rambutan:

Dua hari kemudian, tuk penghulu datang membawa beberapa orang lelaki yang tidak dikenali. Jeha mesti dirawat juga. Orang kampung tidak ada masa untuk mengubati Jehalagi.mereka sibuk dengan padi di sawah. Sibuk dengan banjir. Mahu tidak mahu, Jeha mesti dibawa pergi jua ke suatu tempat untuk diubati.

… Emak mereka telah manjadi gila. Ini sudah diketahui oleh adik-adik Sanah. Emeak mereka akn dibawa pergi untuk diubati, dan ini pun diketahui oleh mereka juga. Tetapi mereka kurang mengetahui bila emah akan pulang…
 (Ranjau Sepanjang Jalan:279-281)


4.2     Cabaran ketua keluarga mencari rezeki
Menjadi seorang ketua keluarga sangat sukar dan berat bebanan yang perlu dipikul. Tugas seorang suami tidak hanya menjaga isteri dan anaknya sahaja tetapi suami perlu memastikan segala keperluan harian dan keperluan pendidikan anak-anak lengkap. Oleh itu untuk memastikan isteri dan anak-anak berada dalam keadaan yang selesa, suami perlu bekerja keras untuk mencari rezeki dan menampung keluarganya. Dalam novel ini, Lahuma sebagai ketua keluarga perlu memikirkan cara untuk menyuap sesuap nasi kepada semua ahli keluarganya dan memastikan mereka mendapat makanan yang cukup dan tidak kebuluran. Oleh itu Lahuma bekerja siang malam tanpa lelah menanam padi dan hasilnya boleh dijual kepada peraih dan untuk keperluan Lahuma sekeluarga.

Lahuma juga sentiasa memikirkan masa depan mereka sekeluarga dan Lahuma juga ada berangan untuk melihat cucu dan cicitnya menikmati beras yang telah dituai oleh hasil titik peluh mereka sendiri. Lahuma juga sentiasa memikirkan kepentingan keluarga mereka kerana dia adalah satu-satunya lelaki yang berada dalam keluarganya dan sekiranya Lahuma mati siapa yang akan meneruskan perjuangannya dan adakah cucu cicitnya akan merempat dijalanan dan meminta sedekah kelak. Perkara ini ada diceritakan di dalam bab 1,
Tetapi apa akan berlaku jika dia mati nanti? Bendang 14 relung itu akan dibahagi-bahagikan. Dua relung seorang. Dan apabila anak-anaknya itu dikurniakan zuriat, mereka sendiri membahagi-bahagikan bendang itu pula lagi sedikit cucu-cucunya akan dapat. Dan boleh jadi cicit-cicitnya nanti tidak akan mendapat walau satu tapak bendang sekalipun.

…”Cicit-cicit kita akan meminta sedekah. Cicit-cicit kita akan minta sedekah,” rungutnya seorang diri. Kemudian dia mendengus kasar.
 (Ranjau Sepanjang Jalan: 5)

Dugaan hebat telah diterima oleh keluarga Lahuma pada tahun tersebut. Ketika Lahuma menebas semak di bendang, Lahuma ditusuk duri nibung di bahagian tapak kakinya. Disebabkan tusukan duri nibung, Lahuma terpaksa berehat dirumah dan urusan bendang diberikan kepada Jeha dan anaknya Sanah dan Milah. Ketika di bersendirian di rumah, Lahuma bermonolog sendiri dan memikirkan masa depan keluarga mereka sekiranya dia masih tidak turun ke bendang. Pelbagai telahan dibuat sehinggakan dia tekad untuk menoreh kakinya dengan pisau cukur demi menjaga padinya dari bencana. Lahuma berkeras menorah kakinya tanpa rasa ragu dan menghentak-hentak kakinya sehingga darah terpancut keluar. Disebabkan bisa duri nibung dan bisa pisau cukur, badan Lahuma semakin membengkak sehingga melarat kepada penyakit busung perut. Lahuma tidak boleh berjalan dan bercakap. Cecair-cecair mengalir keluar dari semua rongga hidung, telinga dan, rekahan perut Lahuma. Akhirnya Lahuma mati dan meninggalkan janda dan anak perempuan tujuh orang. Petikan dibawah menceritakan keadaan Lahuma selepas ditusuk duri selama sebulan:

Beberapa hari kemudian, ternyatalah bengkak itu tidak mahu surut langsung, malah sudah melarat kepada penyakit busung. Perut Lahuma bertambah besar seperti perut Jeha mengandung Sembilan bulan. Lama-kelamaan perut Lahuma pecah-pecah kulitnya. Daripada retak-retak itu, mengalir sejenis air yang paling hanyir. Lahuma tidur terlentang saja.

Puas bomoh datang memberi ubat sakit busung tetapi air bias yang hanyir itu mengalir juga melalui retak-retak perut. Perut itu perlu dicuci dan dibasuh hingga air hanyirnya meresap kain basahan.

(Ranjau Sepanjang Jalan:144

4.3     Kesetiaan isteri demi suami dan anak-anaknya
Seorang isteri merupakan peneman yang sangat setia kepada suaminya ketika susah dan senang. Seorang isteri yang taat ialah isteri yang mendengar arahan dan nasihat daripada suaminya. Dalam Ranjau Sepanjang Jalan, Jeha telah diduga apabila suaminya Lahuma tidak mampu menajak akibat ditusuk duri nibung. Lahuma telah meminta Jeha dan anaknya Sanah dan Milah untuk meneruskan kerja tertangguh di bendang. Walaupun Jeha mengetahui bahawa dengan kudratnya dan kedua anaknya tidak mampu menyaingi kekuatan Lahuma, namun Jeha tetap meneruskan usaha suaminya dan memastikan padi mereka menjadi pada tahun ini.

Jeha dan dua anaknya Sanah dan Milah bertungkus lumus membersihkan tanah untuk menanam padi. Dia juga telah berjanji untuk memastikan padi pada tahun tersebut akan berhasil dan mereka sekeluarga tidak akan kebuluran. Kesetiaan Jeha kepada suami dan anak-anaknya perlu dicontohi oleh masyarakat kini kerana semangat Jeha yang kental dan tidak putus asa terhadap tanaman mereka dan demi janji kepada arwah suaminya yang akan menjaga padi dan anak-anaknya. Petikan dibawah menunjukkan dialog ketika Lahuma tidak mampu ke sawah, Lahuma telah meminta Jeha untuk turun membersihkan kawasan bendang.

“Esok awak turun saja dengan budak-budak tu”, sambung Lahuma. Sesekali dia menyeringai apabila Jeha menekan di bahagian yang sakit.
Jeha mendengar pesanan itu dengan perasaan sebak. Dia mengangguk. Biarlah dia yang memikul beban Lahuma. Dia sanggup melakukannya.
…Jeha cuba mengiyakan saja. Bendang itu tentu tidak sanggup dihabiskan olehnya dan Sanah serta Milah. Jeha sedar tentang kedudukannya yang sebenar. Tiada Lahuma, tiadalah beras untuk anak-anak. Mulutnya terasa ringan untuk menyatakan ‘Aku tiga beranak tak boleh menajak semuanya. Aku tak sanggup. Kita sewa sajalah setengahnya.’ Namun, Jeha tidak berani meluahkannya pada waktu itu.
(Ranjau Sepanjang Jalan:99-100)

4.4     Masalah yang dihadapi petani dalam menghadapi bencana alam
Pelbagai masalah yang dihadapi oleh semua petani ketika musim menanam padi bermula. Dari bendang dibajak sehingga padi telah masak dan tiba musim menuai akan tiba pelbagai masalah. Antara masalah yang dihadapi ialah bencana alam seperti kemarau dan banjir, serangan binatang seperti burung tiak, ular berbisa, ketam-ketam, dan tikus. Berdasarkan novel ini, pada permulaan menceritakan mengenai Jeha yang hamper dipatuk ular tedung berbisa. Lahuma telah membunuh ular tersebut dan Jeha telah mengalami trauma selama beberapa bulan. Banjir juga melanda bendang sehingga memusnahkan anak padi dan menghanyutkan sampah sarap ke dalam bendang.

Petani telah berhujan panas untuk menjaga padi mereka sehingga masak dan ketika padi mula menguning burung tiak pula menghampiri untuk memakan padi yang masak. Burung yang datang bukan berates tetapi beribu-ribu sehingga petai perlu menjaga bendang dari pagi sehingga lewat petang. Petani perlu memikirkan pelbagai cara untuk memusnahkan perosak ini agar hasil tanam mereka menjadi dan mereka mampu menyara keluarga masing-masing. Petikan dibawah adalah ketika Jeha serta Sanah dan adik-adiknya sedaya upaya untuk membunuh berates ribu ketam yang datang untuk mematahkan anak padi yang baru ditanam,
“Pungut! Pungut! Pungut!” jerit Jeha sambil membongkok-bongkok di celah baris semai yang baru ditanam itu.
Dua, tiga ekor sekali cekak. Sesetengahnya dipijak hingga terbenam lemas dalam lumpur. Yang setengahnya diramas begitu saja. Kadang-kadang apabila tiba pada puak-puak yang banyak bertumpang tindih, dikuak-kuak saja masuk ke bakul.
Kawah diletak di atas tungku. Api dinyalakan. Dan Jeha menuangkan isi bakul itu ke dalam kawah berisi air. Ketam itu bergerak-gerak apabila bertempur dengan air. Apabila air mula panas, ketam-ketam itu mula bergerak cepat. Apabila buih-buih air panas itu terkuak, ketam-ketam itu mulai tenggelam dan berbalik-balik badan. Kepanasan air sudah mula terasa sedikit-sedikit kulit belakang ketam mulai merah.
 (Ranjau Sepanjang Jalan:196-197)


5.0     Nilai Budaya dan Pandangan Hidup
Perkataan budaya berasal daripada kata Sanskrit iaitu budayyah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi. Perkataan ini membawa maksud budi pekerti atau akal (Mohd Rashid Md. Idris,2014). Manakala, jika diteliti secara umum budaya ditakrifkan sebagai suatu amalan yang dibawa atau dikerjakan oleh sekumpulan manusia. Budaya kebiasaannya akan dianggap mempunyai hubungan yang erat dengan kehidupan masyarakat. Setiap perlakuan masyarakat akan dikaitkan hubungannya dengan kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri. Selain itu, budaya juga dikatakan merangkumi keseluruhan norma masyarakat termasuklah nilai, ilmu pengetahuan, keagamaan, struktur-struktur kemasyarakatan, serta ciri-ciri khas yang membentuk sesebuah masyarakat.

Sementara itu, pandangan hidup pula ditakrifkan sebagai sebuah draf atau konsep terhadap kehidupan yang akan dijalani. Pandangan hidup yang dimiliki pada umumnya dalam kalangan masyarakat adalah pandangan yang sesuai dengan agama dan norma-norma masyarakat. Pandangan hidup merupakan perkara yang mutlak untuk dimiliki oleh setiap manusia didunia ini. Hal ini kerana dengan memiliki pandangan hidup, seseorang individu itu dapat mengetahui arah tuju kehidupannya. Bukan itu sahaja, bahkan pandangan hidup juga akan membentuk jati diri seseorang individu. Jati diri adalah gambaran sifat atau karakter dalam diri seseorang. Jati diri dalam setiap orang kebiasaannya berperanan sebagai prinsip hidup yang membantu individu tersebut untuk tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran sekeliling. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan yang telah dianalisis ini, terdapat beberapa nilai budaya dan pandangan hidup yang terkandung di dalamnya.

5.1     Nilai Budaya

5.1.1  Mengenang Budi
Salah satu nilai budaya yang terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah mengenang budi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, budi didefinisikan sebagai akal, kebijaksanaan, pekerti, akhlak, tingkah laku, kelakuan dan watak (2010:212). Manakala, jika ditafsir secara umum mengenang budi membawa maksud mengingati sumbangan atau jasa yang dilakukan oleh seorang individu terhadap individu lain. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ini, nilai mengenang budi dapat dilihat dalam diri Tuk Penghulu Kampung BanggulDerdap. Setelah melihat kesakitan dan keuzuran yang ditanggung oleh Lahuma akibat tusukan duri nibung, Tuk Penghulu berasa kasihan terhadap keluarga berkenaan kerana musim menanam padi akan kunjung tiba tidak lama lagi. Tetapi petak sawah keluarga tersebut masih belum habis dibersihkan. Bagi membalas jasa terhadap budi yang pernah dicurahkan oleh Lahuma yang mencari kerbau keweh Tuk Penghulu yang hilang dahulu, Tuk Penghulu telah bersetuju untuk memberi bantuan dengan mengarahkan orang suruhannya membersihkan petak-petak sawah Lahuma dengan traktor miliknya. Perkara ini dapat dilihat melalui petikan di bawah ini :
“Dah habis menajak?” soal tuk penghulu. Matanya memandang Jeha yang nampak mempunyai minat.
“Belum lagi. Yang tajak pun batang menerung, belum lumat,” ujar Jeha.
“Siapa menajak?” soal penghulu.
“Sejak Lahuma merekot, sayalah bersama anak-anak.”
Tuk Penghulu menggeleng.
“Biar aku hantar traktor ke sawah kau selama dua tiga hari. Semuanya tentu habis.” Tuk Penghulu memberi cadangannya.
(Ranjau Sepanjang Jalan,152)

5.1.2  Kasih Sayang
Seterusnya, dalam novel ini masyarakatnya juga mengamalkan budaya kasih sayang. Kasih sayang dalam novel ini dapat dilihat daripada dua aspek yang berbeza iaitu kasih sayang seorang isteri terhadap suami dan juga kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya. Dalam konteks ini, watak utama yang merupakan pasangan suami isteri dalam novel ini menunjukkan kasih sayang yang utuh antara satu sama lain. Sebagai contoh, setelah kaki Lahuma menjadi semakin parah akibat tercucuk dek duri nibung, Jeha tetap setia di sisi suaminya. Jeha sanggup mencuci luka dan nanah yang berbau busuk dan hanyir pada kaki suaminya demi rasa kasih dan cintanya pada si suami. Walaupun Jeha sedar tuntutan untuk mengerjakan bendang masih belum selesai, tetapi dia tetap menjaga suaminya dengan sebaik mungkin. Berikut adalah contoh yang menunjukkan kasih sayang Jeha terhadap suaminya, Lahuma :

Petang itu, Jeha tidak turun ke sawah. Kaki suaminya dicelur dan dituam lagi. Ubat ramuan dicari dan ditambah. Beberapa kali kain panas diusap-usap ke atas kaki yang bengkak itu. Lahuma terbaring saja sepanjang petang itu. Jeha menghembus-hembuskan kaki itu. Akhirnya, Lahuma terlena. Jeha menghembus  lagi perlahan-lahan hingga kelopak mata Lahuma benar-benar terkatup. Kaki bengkak yang tersidai di atas ribanya itu perlahan-lahan diangkat dan diletak pula ke atas bantal lasam. Dengan hati-hati dia meninggalkan suaminya.
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 125)

Seterusnya, budaya kasih sayang dalam novel ini turut dipaparkan melalui watak Jeha sebagai ibu yang amat menyayangi anak-anaknya. Anak-anak Jeha terdiri daripada tujuh orang semuanya iaitu Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah. Selepas kematian Lahuma, Jeha meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja kuat membanting tulang di sawah untuk mencari rezeki bagi menyara anak-anaknya. Jeha terpaksa mengetepikan kesedihan akibat daripada kematian suaminya, dia bertekad untuk mengerjakan sawah bagi menyara kehidupan anak-anaknya. Perkara ini dapat dibuktikan melalui petikan di bawah ini :

        … Dan hilanglah wajah Lahuma daripada pandangannya.
Tetapi, pandangan itu Cuma pada mata Jeha saja. ‘Lahuma berada di mana-mana,’ fikir Jeha. Lahuma menyuruhnya ke bendang esok. Sanah dan Milah dan anak-anak yang lain mesti diberi makan. Dan makanan itu Jeha cukup faham. Hanya nasi saja yang menjadi bahan selama ini. Hanya bendang itulah satu-satunya pusaka Lahuma yang akan menyambung dia dan nyawa anak-anak tujuh orang itu.
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 159)

5.1.3  Adat Merisik
Kebiasaannya, masyarakat Melayu mengamalkan adat-adat tertentu dalam proses perkahwinan. Antara adat yang diamalkan adalah seperti adat merisik atau meminang, adat bertunang dan seterusnya adat bersanding. Begitu juga dalam novel ini, masyarakatnya turut mengamalkan budaya atau merisik. Situasi ini dapat dilihat ketika Lahuma dan Jeha sedang berbicara tentang anak sulung mereka iaitu Sanah. Sanah dikatakan sudah meningkat dewasa dan mampu untuk melakukan kerja-kerja rumah dengan cekap. Sehubungan itu, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang datang merisik puteri sulung mereka, Lahuma akan memberi keizinan sekiranya pihak tersebut daripada golongan keluarga yang baik-baik. Situasi ini dapat dibuktikan melalui petikan di bawah ini :

“Tak lama lagi datanglah risik, sungut Jeha yang masih berada di belakang. “Sanah tu dah bertubuh sekarang”.
Lahuma tidak menyahut kata-kata Jeha. Anak sulungnya itu pantas membuat kerja. Kalau setakat padi seguni itu, dapat ditumbuknya sampai habis.

… “Kalau datang risik?” duga Jeha lagi.
“Lepaskan saja kalau yang datang tu boleh tahan.”
(Ranjau Sepanjang Jalan,30)

5.2     Pandangan Hidup

5.2.1  Kemiskinan Hidup Masyarakat Petani

Lazimnya, masyarakat akan mengaitkan kemiskinan dengan penderitaan atau kesusahan. Golongan yang miskin akan dikatakan melarat kehidupannya. Berdasarkan novel Ranjau Sepanjang Jalan ini, kehidupan masyarakat petani digambarkan sebagai golongan yang miskin. Mereka hanya bergantung pada hasil tanaman padi semata-mata bagi menyara kehidupan. Justeru, golongan ini akan berusaha sedaya upaya untuk melawan perkara-perkara yang menjadi halangan tanaman padi mereka untuk tumbuh dengan subur. Misalnya, penduduk Kampung Banggul Derdap berhabis-habisan melawan serangan ketam, burung tiak dan juga banjir yang melanda tanaman mereka. Sekiranya mereka membiarkan sahaja tanaman mereka diganggu oleh ketiga-tiga perkara tersebut, pasti mereka akan kebuluran tanpa makanan. Hal ini kerana padi adalah sumber rezeki mereka sejak turun-temurun. Contohnya adalah seperti berikut :

“Hidup kaum tani, fikir Jeha, akan hidup di tengah-tengah lumpur. Akan berkubang macam kerbau. Akan berjemur panas macam tanah tandus. Akan basah macam terendam di tengah-tengah banjir besar. Mereka akan memungut ketam dan membunuh binatang bedebah itu. Mereka harus belajar membunuh. Membunuh setiap benda yang akan menghalang pada mereka. Burung tiak yang akan datang berjuta-juta dan berlaksa-laksa. Jeha terasa lapang dadanya bila teringat Lahuma yang akan disambungkan perjuanngannya hingga ke anak cucu cicit. Lahuma yang banyak memberi tenaga kepada seluruh keluarga.”
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 120)




5.2.2  Berpegang Kuat Pada Ajaran Islam

Islam merupakan agama yang mengimani satu Tuhan, iaitu Allah. Ajaran Islam adalah berlandaskan seperti mana yang tercatat dalam Al-Quran. Sehubungan itu, dalam novel ini terdapat satu pandangan yang menunjukkan watak-watak dalam novel ini berpegang kuat pada ajaran Islam. Misalnya, Lahuma sentiasa menunjukkan sifat patuhnya kepada pencipta dengan cara menunaikan solat secara berjemaah dan berdoa bersama-sama dengan isterinya. Sifat Lahuma ini dapat dilihat dalam petikan ayat berikut :

Malam merangkak dari senja ke maghrib dan terus masuk waktu isyak. Lahuma sedang bertimpuh di atas tikar mengkuang sambil kedua-dua belah tangannya tercantum menadah langit. Jeha yang berada di belakangnya dalam keadaan serba putih bertimpuh dengan kemas sekali. Mukanya ditutup rapat dengan kedua-dua belah tapak tangan. Maing-masing bermohon doa kepada Allah S.W.T.
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 14)

Selain itu, Lahuma juga percaya dengan kekuasaan Allah. Oleh itu, sebelum memulakan kerja-kerja di sawahnya, Lahuma memohon perlindungan terlebih dahulu dengan cara berdoa kepada Allah S.W.T. Dia berdoa agar dilindungi daripada segala bencana atau perkara-perkara yang tidak diingini. Berikut adalah contoh yang menunjukkan situasi Lahuma sedang berdoa memohon pada Allah S.W.T :

Azam lahuma tidak mahu melangkah turun esok pagi-pagi tanpa keizinan Yang Maha Esa. Kedua-dua belah tangannya ditadah. Sudut hatinya melupakan segala kerumitan, hanya tertumpu pada ALLAH.
”Ya ALLAH, Yang Maha Besar, Yang Maha Agung, benarkanlah aku mula bekerja esok dan biarlah selama itu aku dilindungi oleh-MU. Jauhkan aku daripada segala bencana alam, daripada segala penyakit, daripada lipan-lipan dan ular-ular dan kala jengking yang bisa-bisa.
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 14-15)
5.2.3  Percaya Pada Qadak dan Qadar

Percaya pada qadak dan qadar membawa maksud percaya pada ketentuan Allah S.W.T. Sebagai hamba, manusia perlu redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan kepadanya. Novel Ranjau Sepanjang Jalan memperlihatkan pandangan hidup yang dimiliki oleh masyarakatnya yang percaya pada qadak dan qadar yang ditetapkan oleh Allah. Hal ini jelas sekali dapat dilihat dalam diri Lahuma dan juga Jeha. Contohnya adalah seperti di bawah ini :

Lahuma dan Jeha cukup percaya bahawa mereka juga akan mempunyai pegangan yang sama. Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Allah S.W.T. Kini, pegangan itu telah banyak memberi ketenangan hidup kepada mereka sekeluarga.
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 2)

Berdasarkan contoh di atas, sifat redha dengan ketentuan qadak dan qadar dapat dilihat dalam diri Lahuma dan Jeha kerana mereka percaya bahawa ajal maut serta rezeki kesemuanya ditentukan oleh Allah S.W.T. Mereka tidak pernah kesal dengan kekurangan yang mereka alami walaupun sekali. Mereka hanya redha dengan ketentuan-Nya agar hidup lebih tenang dan harmoni.


6.0     Nilai ilmu
Dalam karya-karya baik karya agung tradisional mahupun karya agung moden, nilai ilmu memang selalu diselitkan oleh pengarang atau penukil. Menurut Mohd Rashid MdIdriset al. (2014), dalam karya tradisional Melayu terdapat gambaran menyeluruh tentang budaya ilmu orang Melayu. Konsep nilai menurut kamus dewan edisi keempat (2010)adalah merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan tara, manakala ilmu pula dirujuk sebagai ilmu pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Maknanya, nilai ilmu ini boleh diringkaskan sebagai pengetahuan yang mempunyai nilai dan berguna kepada penerima maklumat atau pembaca teks tersebut. Dalam karya-karya agung, terselit pelbagai nilai ilmu yang sesuai dengan latar karya tersebut dihasilkan. Dalam karya agung moden, iaitu novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad juga mempunyai beberapa nilai ilmu yang berguna kepada pembacanya khususnya ilmu yang berkaitan dengan masyarakat Melayu. Antara nilai ilmu yang terdapat dalam karya tersebut ialah ilmu bercucuk tanam, ilmu perdagangan dan ilmu agama.

6.1     Ilmu bercucuk tanam
Novel Ranjau Sepanjang Jalan ini memang berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat petani di kampung. Dari awal hingga akhir bab novel ini, perkembangan cerita memang fokus kepada kehidupan keluarga Lahuma yang menjadikan bertanam padi sebagai sumber utama rezeki. Kesusahan dan kesungguhan masyarakat petani di kampung BanggulDerdap, Sik Kedah menggambarkan betapa menyelamatkan sebutir padi daripada menjadi mangsa burung Tiak, ketam dan bencana alam itu sangat susah dan perit sekali. Dalam novel ini, pengarang menyelitkan cara petani menanam padi.  Contohnya seperti berikut:

Lahuma meneruskan kerjanya mengasah parang. Esok belukar itu akan ditebas. Esoklah akan bermulanya hari dia menanam padi. Selepas menebas, tanah itu akan digembur dan dirata. Padi akan ditabur. Dan sebelum menunggu semai itu cukup usianya, Lahuma anak-beranak akan turun ke sawah. Rumput dan menerung tebal terpaksa ditajak hingga tercabut perdu-perdu dan akar-akarnya.
                                             (Ranjau sepanjang jalan, 2006:11).

Berdasarkan petikan daripada novel tersebut, dapat dilihat bahawa pengarang cuba untuk menerangkan urutan menanam padi. Bermula dari menyediakan peralatan kemudian petani perlu menebas tapak untuk menanam padi sebelum merata dan mengembur tanah. Seterusnya, benih padi akan disemai. Sementara menunggu semaian tersebut cukup untuk dipindahkan, petani perlu menajak rumput dan menerung yang menguasai tapak menanam padi.
       

6.2     Ilmu agama
Keluarga Lahuma yang menjadi fokus utama jalan cerita novel ini hidup dihimpit kemiskinan. Sekiranya pembaca memang menghayati karya ini, kemiskinan yang digambarkan boleh menyebabkan keluarga Lahuma ini lemah semangat untuk meneruskan hidup namun keluarga ini tetap tabah dan berpegang kepada agama. Kemiskinan adalah keadaan kekurangan terhadap perkara-perkara yang biasa diperlukan oleh seseorang individu seperti makanan dan minuman, pakaian serta tempat tinggal kerana keperluan ini sangat berkait rapat dengan kualiti hidup manusia.  Keluarga Lahuma menganut agama Islam dan mereka berpegang teguh kepada anutan tersebut. Contohnya, Lahumaredha dengan takdir dan ketentuan yang diberikan Tuhan kepada keluarganya. Lahuma tidak putus-putus berdoa kepada-Nya. Lihat petikan berikut:

“Aku tak akan menganiayai segala insan dan makhluk-MU. Aku tak akan membunuh segala bencana yang tak mengganguperjuanganku dan seluruh keluargaku,” rintih Lahuma dalam doanya.
                                                                                    (Ranjau sepanjang jalan,2006:25).






Dari awal bab dalam novel ini, Shahnon Ahmad memberi watak Lahuma sebagai seorang yang sentiasa berpegang kepada agama. Bukan setakat Lahuma, isiterinyaJeha juga sentiasa percaya kepada Tuhannya. KeredhaanJeha, iaitu isteri Lahuma terhadap takdir dan ketentuan Allah dilihat pada contoh beikut:

“Namun tekad hati Jeha tidak juga luput. Bahaya di tangan ALLAH. Mati hidup Lahuma di tangan ALLAH. ALLAH boleh memelihara Lahuma. ALLAH boleh mengambil nyawa Lahuma.”
(Ranjau sepanjang jalan, 2006:51-52)



6.3     Ilmu perdagangan
Walaupun novel ini berlatarkan kehidupan masyarakat tani tetapi mereka tetap juga melibatkan diri dalam perniagaan. Contohnya, Lahuma ingin menjual batang pinang kepada tauke-tauke Cina bagi mendapatkan sedikit wang sesudah habis musim mengetam. Lihat petikan berikut:

Dia cuba menebang batang pinang di belukar untuk dijual           kepada tauke-tauke Cina yang membawa batang pinang       itu ke    laut untuk dibuat pancang pukat.
                                                                                     (Ranjau sepanjang jalan,2006: 10).

6.4     Ilmu menangkap ikan
Sinonim dengan latar belakang kehidupan kampung, dalam karyanya ini Shahnon Ahmad menyelitkan ilmu menangkap ikan. Dalam novel ranjau sepanjang jalan ini, Lahuma menangkap ikan apabila ada waktu terluang khususnya selepas habis musim mengetam padi. Kewujudan istilah-istilah yang berkaitan dengan cara untuk menangkap ikan menunjukkan ilmu ini memang ada dalam novel ini. Contohnya seperti berikut:

Cuma sekali-sekala Lahuma membuat bubu dan nada untuk menangkap ikan.
                                                                                     (Ranjau sepanjang jalan,2006:10).

Berdasarkan contoh petikan tersebut, wujud istilah bubu dan nada yang merupakan perkakas untuk menangkap ikan. Melalui bacaan, pembaca dapat mengetahui  bahawa bubu dan nada adalah cara tradisional yang digunakan oleh masyarakat kampung untuk menangkap ikan.


7.0     Seni kepengarangan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), seni bermaksud karya yang dicipta dengan bakat,  manakala kepengarangan bermaksud perihal yang berkaitan dengan pengarang. Justeru itu, seni kepengarangan dapat ditakrifkan sebagai karya yang digarap oleh pengarang mengikut identiti atau cara mereka berkarya dengan gaya dan pembawaan mereka sendiri.

Dalam novel ranjau sepanjang jalan, terdapat beberapa teknik atau cara yang dikesan melalui seni kepengarangan yang digunakan oleh pengarangnya iaitu Shahnon Ahmad. Seni kepengarangan ini terhasil daripada cara pengarang menghasilkan penulisannya berdasarkan cara pengolahan serta pengalaman pengarang tentang sesuatu penulisan yang dicipta.

7.1     Menggunakan bahasanya yang ringkas tetapi padat
Dalam novel ini, Shahnon Ahmad mengaplikasikan seni kepengarangan dengan menggunakan bahasanya yang ringkas tetapi padat. Walaupun pengarang menggunakan perkataan-perkataan yang biasanya digunakan oleh orang-orang lain, namun perkataan-perkataan itu dapat melengkapkan apa yang mahu disampaikannya. Justeru, kita seolah-olah diberi gambaran yang jelas tentang peristiwa dalam novel tersebut. Selain itu, Shahnon juga gemar menggunakan dialek Kedah dan bahasa daerah tetapi tidak keterlaluan.

7.2     Teknik penggunaan watak begitu jelas dan berkesan
Shahnon Ahmad turut mengarang menggunakan teknik penggunaan watak yang begitu jelas dan berkesan. Hal ini dapat dilihat melalui watak-watak yang dibawa dalam novel ini disamping perwatakan yang diolah dengan jalan cerita dan latar tempat yang menjadi tunjang hidup cerita ini. Sebagai contoh, watak Lahuma dan Jeha yang menjadi watak utama dalam cerita ini digarap dengan penuh penghayatan sebagai seorang petani yang sangat miskin dan hanya bergantung hidup kepada hasil tanaman padi mereka. Justeru, melalui perwatakan yang diceritakan, pembaca berasa peristiwa itu benar-benar berlaku bukannya daripada cetusan idea pengarang. Watak-watak yang digunakan  seolah-olah memaparkan perwatakan manusia sebenar dalam sesebuah masyarakat tersebut.

7.3     Teknik penceritaan

7.3.1 Imbas Kembali
Pengarang banyak menggunakan teknik penceritaan imbas kembali dalam Novel Ranjau Sepanjang Jalan ini. Teknik penceritaan imbas kembali dapat ditakrifkan sebagai ‘flashback’ iaitu mengenang kembali peristiwa atau perkara yang telah berlaku. Imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang pernah dialaminya.Peristiwa itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog dalaman. Sebagai contoh, dalam novel ini, watak utamanya, Lahuma teringat akan serangan ketam dan lintah sepanjang proses menanam padi.
Lahuma teringat akan lintah-lintah gajah yang liar           berenang mencari betisnya. Sekurang-kurangnya, tahun            ini secupak darahnya akan terlepas ke perut lintah. Lahuma teringat pada ketam-ketam halus yang menggigit-gigit batang padi mudanya tahun lalu. Bukan sedikit tetapi berpuluh-puluh ribu jumlah  ketam        putih itu merosakkan tanamannya. Teringat ketam itu dipungut dan kemudian dihenyak-henyak dengan tumit.
                                                      (Ranjau sepanjang jalan, 2006: 10)

Seterusnya, teknik imbas kembali ini juga dapat dilihat melalui watak Jeha iaitu isteri Lahuma yang mengenang kembali peristiwa semasa dia terserempak dengan ular tedung yang hampir-hampir saja membunuhnya tetapi sempat diselamatkan oleh suaminya. Petikan imbas kembali ini dapat dilihat seperti yang berikut:
Dia teringat bagaimana dia terkena bahana ular tedung dulu. Bagaimana Lahuma menerkam dan mematahkan leher ular yang bisa itu. Bagaimana Lahuma cincang ular itu hingga hancur.
                                (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 103)


7.3.2 Imbas Muka
Imbas muka merupakan cara pengarang memberikan bayangan  awal atau ramalan tentang sesuatu peristiwa yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita berkenaan. Teknik imbas muka dapat mewujudkan keyakinan dalam kalangan pembaca terhadap sesuatu yang akan berlaku. Dalam novel ini, teknik imbas muka banyak digunakan oleh pengarang untuk menjadikan cerita ini boleh diteka dari awl lagi oleh pembaca. Sebagai contoh, watak utamanya Lahuma dan Jeha banyak digunakan dalam penggunaan teknik imbas muka ini. Contohnya, dalam novel ini, Lahuma terfikir akan apa yang bakal terjadi kepada sawah dan keluarganya. Lahuma juga berfikir tentang masa depan anak- anak. Selain itu, Jeha telah merancang tentang pengurusan sawah pada tahun berikutnya. Jeha juga berfikir tentang apa yang akan terjadi kepada anak-anaknya serta sawah milik keluarganya sekiranya dia mati.     

7.3.3 Monolog
Monolog dapat ditakrifkan sebagai pertuturan kepada diri sendiri sama ada  boleh disuarakan atau diucapkan dalam hati. Monolog tidak ditujukan kepada orang lain dan tidak memerlukan reaksi ataupun jawapan daripada orang lain. Monolog hanya ada dua sahaja iaitu monolog dan monolog dalaman. Dalam novel ini, watak-wataknya sering digunakan sebagai watak yang menuturkan monolog. Sebagai contoh, Lahuma bermonolog tentang upah untuk membayar traktor. Contoh petikan yang memaparkan monolog ini ialah:

Cukup kalau menajak dan mencangkul saja. Lagipun, kalau menggunakan traktor akan makan banyak ringgit. ‘Serelung lapan ringgit,’ fikir Lahuma. Kalau 14 relung, sudah berapa? Dia cuba mengira dalam kepalanya.
                                                                (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 79)                                                                                           
Selain itu, pengarang turut menyelitkan teknik monolog dalaman dalam novel ini. Sebagai contoh, monolog ini dituturkan oleh Lahuma terhadap perosak yang mengganggu keluarganya sepanjang proses mereka menanam padi iaitu lintah kerbau. Monolog dalaman yang ditunjukkan ialah:

Aku tidak akan membunuh kau, kalau kau tidak menghisap darahku. Tetapi, bila aku habis menabur semai aku akan mengharungi air ini. Dan dikala itu, kalau kau semua masuk datang mengapuk pada betisku dan menghisap darahku, darah isteriku, darah anak-anakku, aku tidak teragak-agak membunuh kamu semua. Aku akan cincang dengan parang tajam ini. Aku akan bubuh racun kesemuanya, tegas suara hati Lahumasebagainekad dia akan melakukannya.
                        (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 22-23)                             

7.3.4 Dialog
Dialog merupakan kata-kata yang dituturkan oleh watak-watak dlm drama atau fiksyen. Dalam sesebuah cerita ataupun novel, kebanyakan pengarang menggunakan teknik dialog dalam menampakkan percakapan atau perkara yang diucapkan oleh watak yang digunakan.  Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, pengarangnya menggunakan dialog yang dituturkan oleh Lahuma dan Jeha. Sebagai contoh, dialog yang dimuatkan dalam novel ini ialah:
“ Kalau anak padi tumbang kerana ketam, boleh juga saya sulam. Tetapi kalau tiak datang mengamuk bila padi menguning, apalah nasib kita tahun ini? Burung tu bukan seekor dua. Bukan berpuluh dua, tapi ratus ribu. Terlalu banyaknya.”
“ Ketam dan tiak itu insan seperti kita juga. ALLAH menguasai segala-galanya. Kalau burung-burung itu nak datang juga, kita hanya membiarkan saja. Hanya ALLAH yang boleh melarang mereka. Hanya AALH yang sanggup menegah mereka.”                    
  (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 18-19)

7.4     Teknik Pemerian/ Deskriptif
Pemerian dapat ditakrifkan sebagai hal atau cara memerikan sesuatu atau penghuraian tentang sesuatu perkara. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, teknik pemerian atau lebih dikenali sebagai deskriptif ini banyak digunakan oleh pengarang untuk memerihalkan sesuatu perkara. Sebagai contoh, pengarang memerihalkan tentang kerosakan padi akibat daripada serangan burung tiak yang menyebabkan tanaman padi Lahuma sekeluarga mengalami kerugian. Petikan pemerian ini dapat dilihat melalui petikan ini:

Padi-padi itu akan habis menjadi hampa kalau tiak turun berkawan-kawan tahun ini. Padi-padi yang berkapuk di tangkai-tangkai yang sebesar jari kelengkeng budak itu akan tanggal begitu saja. Tangkai-tangkai yang meliuk-liuk berat menahan buah-buah padi akan menjadi kosong. Tiak dari rimba lain akan datang lagi. Dari gunung yang nampak tersangat jauh itupun akan datang juga apabila ternampak padi masak.
   (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 299)

Seterusnya, pengarang juga turut menggunakan teknik pemerian ini dalam menghuraikan cara mengerat perdu padi yang dilakukan oleh Sanah dan adik-adiknya.

Malam itu padi masak tidak diketam setangkai demi setangkai lagi. Dikeratnya perdu-perdu padi dikerat hingga bertimbun-timbunjerami bersama tangkai yang telah jarang-jarang bergayutan dengan buah-buah padi itu…padi bersama jerami bertimbun-timbun dalam petak…padi itu dipukul di dalam tong kosong di situ juga. Berkecai-kecai buah-buah yang tinggal itu masuk tong. Tangkai-tangkainya remuk apabila tertampan juring-juring tong yang tajam itu. Buah-buahnya berkecai jatuh lepas seperdu lagi.
  (Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 313)

8.0     Seni bahasa
Menurut Hashim Awang dalam  Abu Hassan dan Mohd Rashid MdIdris dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014), gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata dalam menyampaikan fikiran dan perasaan. Gaya bahasa juga didefinisikan sebagai penyusunan kata, iaitu satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu pengarang, fikiran, dan tujuannya. Antara gaya bahasa yang digunakan dalam Ranjau Sepanjang Jalan (2006), adalah seperti yang berikut:

8.1     Gaya Bahasa Pengulangan
Gaya bahasa pengulangan ialah gaya bahasa yang mengandungi unsur-unsur pengulangan bunyi, suku kata, kata, frasa atau bahagian ayat yang dianggap penting untuk menghasilkan kesan dan memberi tekanan dalam sesebuah konteks yang sesuai.

(i)            Anafora
Anafora merupakan pengulangan perkataan yang sama pada permulaan klausa. Terdapat beberapa petikan yang dipetik dalam Ranjau Sepanjang Jalan (2006) yang mengandungi skema perulangan anafora.

Bab 1 dalam Ranjau Sepanjang Jalan (2006), pengarang menggunakan skema perulangan anafora pada permulaan ayat iaitu pengulangan perkataan padi dan bawa seperti petikan di bawah ini:
           
Padi ditanam. Padi dijemur. Padi dimasak dan padilah yang menyambung hidup mereka sejak zaman-berzaman ini.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 3)

Bawa parang ke mari. Bawa batu asah ke mari.
 (Ranjau Sepanjang Jalan: 8)

Petikan dalam bab 2 Ranjau Sepanjang Jalan (2006) juga mengandungi unsur perulangan anafora, iaitu perkataan singkirkan. Petikan ini juga menceritakan tentang  Lahuma berdoa kepada Allah agar padinya dijauhkan daripada segala banjir besar dan kemarau panjang.
Singkirkan segala banjir besar yang boleh melimpahi padiku. Singkirkan  kemarau panjang yang mengeringkan tanah bendangku.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 15)
(ii)          Repitasi
Repitasi ialah pengulangan perkataan di tengah baris. Berikut merupakan contoh petikan yang dipetik dalam Shahnon Ahmad (2006):

Lahuma pantang menyebut nama-nama bencana itu kuat-kuat. Akan menimpakah bencana yang teruk tahun ini?  Lahuma tidak dapat memikirkan akibatnya kalau kesemua bencana itu menimpa.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 68)

Petikan bab 5 ini mengandungi pengulangan perkataan bencana ditengah baris dalam setiap ayat di atas yang dikenali sebagai repitasi.

8.2     Gaya bahasa pertautan
Gaya bahasa pertautan dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014) merupakan hubungan pertautan makna sama ada yang bersifat simbolik, perumpamaan atau tamsilan.

(i)            Disfemisme
Menurut Mohd Rashid MdIdris et al. (2014), disfemisme ialah kata-kata kasar untuk tujuan tertentu. Antara contoh petikan yang mengandungi gaya bahasa pertautan iaitu, disfemisme:
Lahuma teringat pada lintah-lintah gajah yang liar berenang mencari betisnya.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 11)
Kali ini, dia akan siap dengan kawah untuk merebus ketam-ketam jahanam itu.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 12)

Petikan di atas diambil dari bab 1 yang menceritakan seorang watak bernama Lahuma teringat akan lintah-lintah yang menghisap darah pada betis dan sangat geram terhadap ketam-ketam yang selalu merosakkan tanamannya. Pengarang ingin menyatakan bahawa lintah-lintah sebagai haiwan liar dengan menggunakan perkataan liar serta ketam-ketam sebagai haiwan yang tidak berguna dengan menggunakan perkataan jahanam.


(ii)          Eufemisme
Ungkapan yang lebih halus sebagai pengganti ungkapan yang dirasakan kasar dikenali sebagai eufemisme. Beberapa petikan yang berkaitan dengan unsur eufemisme yang dipetik dalam Shahnon Ahmad (2006):

PADA sebelah petangnya, mereka tiga beranak berangkat lagi ke baruh.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 78)

Petikan di atas dipetik dari Bab 6 dalam Ranjau Sepanjang Jalan (2006), pengarang menggunakan perkataan berangkat untuk menggantikan perkataan pergi. Hal ini demikian kerana, perkataan berangkat lebih halus berbanding dengan perkataan pergi.

8.3     Gaya bahasa pengguguran

(i)      Asidenton
Asidenton dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014) merupakan pengguguran kata hubung. Berikut adalah petikan yang mengandungi asidenton:

        Makan tidur, makan tidur. (Ranjau Sepanjang Jalan: 11)

Petikan di atas ini dipetik dalam bab 1 dalam Ranjau Sepanjang Jalan (2006) yang menggugurkan kata hubung dan iaitu, dikenali sebagai skema pengguguran asidenton.




8.4     Gaya bahasa perbandingan
Gaya bahasa perbandingan dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014), merujuk kepada penggunaan unsur-unsur bahasa yang bersifat membandingkan dua hal pada hal berlainan ataupun sengaja dianggap sama.

(i)            Personafikasi
Personafikasi merujuk kepada gambaran yang menganggap benda-benda dan idea seperti manusia. Antara beberapa petikan yang mempunyai unsur personafikasi:

Malam merangkak dari senja ke maghrib dan terus masuk waktu isyak.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 14)

Bab 2 dalam Shahnon Ahmad (2006), pengarang menyatakan bahawa malam disifatkan dengan perlakuan manusia, iaitu dengan menggunakan perkataan merangkak. Merangkak merupakan perbuatan atau perlakuan manusia.

Petikan di bawah ini pula dipetik dalam bab 5 Ranjau Sepanjang Jalan (2006), pengarang  mengibaratkan bukit dan hutan sebagai manusia yang memiliki sifat gagah perkasa.

Kemudian, pandangannya dialihkan ke arah bukit dan rimba raya yang gagah perkasa bagaikan memagari Kampung BanggulDerdap daripada segala bencana alam.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 63)

Seterusnya, petikan di bawah ini diambil dari bab 11 yang menunjukkan unsur personifikasi iaitu, mengoyak-ngoyak merupakan perbuatan manusia.

Anak-anaknya akan turun ke sawah esok melihat traktor yang akan mengoyak-ngoyak kulit bendang itu. (Ranjau Sepanjang Jalan: 153)

(ii)          Simile
Simile dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014), merupakan  perbandingan secara langsung, iaitu seperti, bak, bagai, umpama dan sebagainya. Berikut petikan yang dipetik dalam Shahnon Ahmad (2006):

Dia cuba menutupkan matanya namun setiap kali cubaan itu dibuat setiap kali itulah pula tapak kakinya sakit bagaikan ditusuk dengan jarum halus.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 103)

Petikan di atas diambil dari bab 5 Ranjau Sepanjang Jalan yang mengandungi unsur simile, iaitu bagaikan manakala, petikan di bawah ini dipetik dalam bab 15 yang menggunakan unsur simile iaitu, seperti.
Bangkai ketam itu dituang bertimbun-timbun seperti busut yang setinggi lutut.
 (Ranjau Sepanjang Jalan: 200)

8.5     Gaya bahasa pertentangan
Gaya bahasa atau majaz pertentangan merupakan seni bahasa yang menggunakan kata yang bertentangan, simbolik, dan berhubungan. Abu Hassan Abdul (2013), menjelaskan bahawa majaz pertentangan ini merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang saling bertentangan dari segi makna, sama ada secara simbolik, tersurat atau tersirat dalam struktur ayat yang sama atau yang berhubungan.

(i)            Hiperbola
Hiperbola merupakan penggunaan istilah yang membesar-besarkan, berlebih-lebihan dan melebih-lebihkan sesuatu perkara. Antara petikan dalam bab 13 Ranjau Sepanjang Jalan (2006) yang mengandungi hiperbola:
Sekurang-kurangnya ikan haruan itu boleh ditunggang oleh Kiah.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 183)

Petikan di atas tersebut menunjukkan istilah atau perkara yang berlebih-lebihan yang menyatakan bahawa ikan haruan boleh ditunggang oleh manusia. Hal ini demikian kerana tidak mungkin ikan boleh ditunggang oleh seseorang.

8.6     Sinkof
Sinkof ialah singkatan perkataan seperti mu, ku, kau, tak, nak dan sebagainya. Antara contoh petikan yang mengandungi unsur sinkof adalah seperti berikut:
Singkirkan segala banjir besar yang boleh melimpahi padiku.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 15)
Banyak orang di kampung nak tanam padi Malinja.
 (Ranjau Sepanjang Jalan: 16)
Ambil bakul-bakulmu semua,” arah Jeha kepada budak-budak yang  terbeliak itu…
 (Ranjau Sepanjang Jalan: 215)

8.7     Peribahasa
Menurut Za’ba (1965) dalam Abdullah Yusofet al. (2009), peribahasa ialah susunan kata-kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Peribahasa terdiri daripada simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan dan sebagainya. Sebagai contoh, dalam petikan bab 16 Ranjau Sepanjang Jalan (2006) terdapat satu jenis peribahasa iaitu, simpulan bahasa. Simpulan bahasa yang  terdapat dalam petikan ialah membawa mulut yang bermaksud bercerita tentang keburukan orang lain.
Orang Kampung BanggulDerdapcepat membawa mulut.
 (Ranjau Sepanjang Jalan: 220)

9.0     Kesimpulan
Kesimpulannya, Ranjau Sepanjang ini diangkat menjadi karya agung Melayu kerana mempunyai nilai-nilai yang tersendiri. Karya ini juga mengisahkan keperitan hidup yang dialami oleh keluarga petani tetapi mereka tidak mudah putus asa dalam menghadapi kesusahan hidup. Karya agung Melayu telah memberi kesan budaya, pemikiran, pandangan, falsafah hidup dan sebagainya yang berkekalan sehingga ke hari ini.

Menurut Seri Lanang Jaya et al. (2013) menyatakan bahawa karya agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu.





















5 comments:

  1. Terbaik terima kasih. Mohon Izin dload bahan.

    ReplyDelete
  2. sanagt bagus.. minta izin nak copy

    ReplyDelete
  3. sangat berguna. terima kasih :) minta izin copy yaa..

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum.mohon izin utk copy ye :)

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum. Bahan ini amat bagus. Saya minta izin utk copy.

    ReplyDelete