Wednesday 13 May 2015

Analisis Teks Klasik Hikayat Hang Tuah

1.0 Pengenalan
Epik bangsa Melayu yang merupakan satu manuskrip tertua ini secara keseluruhannya menceritakan kehebatan dan kepahlawanan wira Melayu pada masa tersebut. Muhammad Haji Salleh (2013) menyatakan bahawa cerita kehebatan Hang Tuah ini memang sangat terkenal dan menjadi buah mulut dalam kalangan penduduk di Kepulauan Melayu dan di Selatan Asia Tenggara. Manuskrip ini telah disimpan di Perpustakaan, Universiti Leiden, Cod. Or. 1758 dan merupakan sebuah manuskrip yang tertua di perpustakaan berkenaan.Kassim Ahmad (1997) dalam bahagian pengenalan membahagikan hikayat ini kepada dua bahagian utama iaitu bahagian perlawanan dan bahagian pengembaraan. Hal ini memang jelas dilihat dalam hikayat ini kerana Hang Tuah itu sendiri memang seorang laksama Melaka yang sangat hebat dalam bermain senjata dan sering menjadi utusan raja Melaka pada masa itu.
Watak utama yang menjadi wira dalam hikayat ini ialah Hang Tuah. Hang Tuah diceritakan sebagai seorang yang sangat setia kepada tuannya, iaitu raja Melaka dan sangat hebat dalam pelbagai aspek. Kehebatan ini memang banyak ditonjolkan dalam hikayat ini selain menceritakan gaya hidup masyarakat Melayu pada masa itu. Berdasarkan karya ini, Hang Tuah telah menjadi seorang laksamana yang dikagumi serta digeruni dan menjadi lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka pada masa itu. Sehingga kini, masyarakat Melayu menganggap Hang Tuah sebagai tokoh sejarah, pahlawan berani dan lambang kesetiaan kepada raja (Nurhayati Rahman, 1999).
                  Dalam setiap bab dalam hikayat ini menceritakan pelbagai peristiwa yang melibatkan watak utama iaitu, Hang Tuah. Pelbagai mesej yang boleh pembaca dapat melalui karya agung ini, selain dapat melihat dan memahami nilai budaya dan falsafah hidup masyarakat Melayu pada masa itu. Teknik kepengarangan dan seni bahasa yang digunakan dalam hikayat ini juga berbeza dengan novel-novel picisan yang terdapat di pasaran zaman ini. Sebagai khazanah budaya dan ilmu yang dinukil oleh bijak pandai pada masa lalu, serta tingginya nilai yang terkandung dalam hikayat ini telah mengangkat hikayat ini sebagai salah sebuah karya agung di rantau ini. Hal ini selari dengan pandangan Seri Lanang Jaya, Mohd Rashid Md. Idris dan Abd. Rahman Napiah (2014) yang mentakrifkan karya agung sebagai karya-karya terdahulu yang ternukil oleh bijak pandai dan mempunyai nilai yang tahan zaman baik dari segi seni, budaya, ilmu dan pemikirannya.

2.0 Latar Belakang Penulis
Nama sebenar beliau ialah Kassin bin Ahmad. Beliau merupakan anak sulung kepada guru agama Ahmad bin Ishak dan surirumah Ummi Kalthom bt. Hj. Ahmad, lahir pada 9 September, 1933 di Bukit Pinang dalam daerah Kota Setar, di negeri utara Kedah, Malaysia. Beliau berasal dari Hutang Kampung, Langgar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Bandar Baharu, Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dan melanjutkan pengajian di Universiti Malaya di Singapura. Beliau telah berkahwin dengan Sharifah Fawziah bt. Syed Yussoff yang berasal dari Kulim, Kedah. Beliau juga pernah berkerja di Dewan Pustaka dan Pustaka sebagai pegawai dan disitulah bermulanya penghasilan Hikayat Hang Tuah. Selepas itu beliau berkerja sebagai pensyarah di School of Oriental and African Studies, Universiti London, London.
Setelah meninggalkan Universiti, Kassim bekerja sebagai pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur dan kemudian memegang jawatan pensyarah di  Pusat Pengajian Timur dan Afrika ( London School of Oriental and African Studies), Universiti London, di London selama empat tahun. Pulang ke tanah air, beliau mengajar di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang. Kerana beliau seorang yang berjiwa bebas dan tidak terlalu suka mengikut undang-undang yang menekan, perkhidmatan beliau ditamatkan pada 1969 kerana menyibarkan risalah parti kepada anak muridnya. Beliau menjadi penulis bebas, wartawan dan guru bebas setelah itu hingga sekarang. Minat Kassim dalam bidang-bidang politik, falsafah dan agama memperkenalkannya kepada gerakan politik-falsafah LaRouche di Amerika Syarikat, kepada Parti Baath dan Saddam Hussein di Iraq dan kepada Allahyarham sarjana Mesir yang bermustautin di A.S. dan berpusat di Tucson, Arizona, Dr. Rashad Khalifa. Beliau telah menghadiri konferensi-konferensi yang dipanggil oleh pertubuhan-pertubuhan ini.
Minat Kassim luas sangat meluas. Sastera, politik, falsafah dan agama merupakan minat-minatnya yang besar, dan beliau telah menulis buku dan esei tentang tajuk-tajuk ini. Beliau telah dianugerah ijazah kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1985 dan Anugerah Penyair Gabungan Penulis-penulis Nasional (GAPENA) pada 1987.
Beliau telah menulis banyak rencana dan buku antaranya ialah Hikayat Hang Tuah , Perwatakan dalam Hikayat Hang Tuah (1973), Characterisation in Hikayat Hang Tuah (1966), Polemik Sastera Islam yang ditulis bersama Shahnon Ahmad, Kemarau di Lembah, Kumpulan Sajak (1967) Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme kepada Islam, Sajak ‘Pengembara dalam Perjalanan”, dan banyak lagi.
Selain itu, karya-karyanya termasuk buku-buku tentang teori sosial Islam (1984), tentang Hadis (1986), tentang penahanan politiknya (1983) dan beberapa antologi esei politik dan sastera serta sebuah antologi sajak (1967). Beliau telah menerbitkan dua buah esei falsafah yang penting, sebuah kritikan terhadap Marxisme (Dewan Bahasa, Disember 1975) dan tentang bermaknanya kehidupan (Pemikir, Oktober-Disember, 1997) Beliau juga telah mengedit beberapa karya klasik Melayu. Kebanyakan karya beliau dalam bahasa Melayu. Bukunya tentang hadis, yang mendapat sambutan hangat bila mula-mula terbit dan yang telah menyebabkan beliau dicap "murtad" oleh beberapa kalangan agama, telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Arab dan Inggeris (1997). Belia sekarang sedang mengerjakan sebuah terjemahan Quran ke dalam bahasa Melayu, sebuah riwayat hidup beliau dan sebuah edisi baru bagi karya besar Abdullah Munsyi, Hikayat Abdullah, di samping memimpin Jema`ah Al-Quran Malaysia (sejak 1995) dan Kopeasi Pelaut Pulau Pinang, sebuah koperasi pekerja-pekerja Melayu di Pelabuhan P.Pinang (sejak 1997).


3.0 Sinopsis Hikayat Hang Tuah
Hikayat Hang Tuah merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita. kebolehan, dan sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui hikayat ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan budi bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15.
Pada masa umurnya sepuluh tahun , Hang Tuah bersahabat karib dengan empat orang yang sebaya dengannya, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka bagaikan isi dengan kuku. Ketika belayar ke Pulau Tinggi, Hang Tuah dan sahabatnya telah membunuh segerombolan lanun lalu mereka diambil berkhidmat di bawah Sultan oleh Bendahara yang kagum akan kepahlawanan mereka pada usia yang begitu muda.
Ketika Hang Tuah mengiringi Sultan ke Majapahit, beliau menyahut cabaran seorang pahlawan Jawa yang termahsyur dikenali sebagai Taming Sari dan berjaya memperoleh sebilah keris yang dinamakan “Taming Sari” sempena pemiliknya yang asal. Taming Sari merupakan seorang anak buah Empayar Majapahit yang telah dihadiahi dengan sebilah keris kuno yang dipercayai boleh menyebabkan pemiliknya kebal. Kemenangannya menyebabkan Hang Tuah dikurniai bukan sahaja keris ‘Taming Sari’ tetapi juga gelaran Laksamana dan sepersalinan pakaian oleh Seri Betara.
Laksamana Hang Tuah telah menjadi orang kesayangan Sultan dan hal ini menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan kerabat diraja termasuk Patih Karma Wijaya. Suatu tuduhan palsu telah dibuat terhadap Hang Tuah iaitu, beliau dituduh berzina dengan dayang Sultan, dan Hang Tuah serta-merta dijatuhi hukuman mati oleh Sultan yang murka tanpa sebarang usul periksa. Bagaimanapun, hukuman mati itu tidak dilaksanakan oleh Bendahara, dan Hang Tuah disembunyikan di Inderapura.
Mempercayai bahawa Hang Tuah telah mati, Hang Jebat, melancarkan pemberontakan balas dendam terhadap Sultan Mansur Shah demi membela kematian sahabatnya di samping menyebabkan keadaan huru-hara dalam kalangan rakyat Melaka. Seterusnya, Sultan meninggalkan istana dan mengumumkan Hang Jebat sebagai penderhaka. Semua percubaan untuk membunuh Hang Jebat tidak berhasil. Sultan Mansur Shah berasa sesal akan hukuman mati yang telah dijatuhkan kepada Hang Tuah kerana Hang Tuah merupakan satu-satunya wira yang berupaya untuk membunuh Hang Jebat.
Akhirnya, Bendahara membuka rahsianya dan memanggil Hang Tuah pulang daripada persembunyian. Hang Tuah telah diampuni oleh Sultan. Suatu perjuangan yang amat menyedihkan telah berlaku antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Selepas berlawan selama tujuh hari, Hang Tuah telah berjaya membunuh Hang Jebat dan mendapat keris Taming Sarinya semula. Jebat mengamuk selama 3 hari sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Kemudian, orang-orang Feringgi (Portugis) berjaya menawan Melaka dengan membedil kota Melaka. Penggempuran ini telah dilakukan serentak dengan kedatangan dua angkatan laut dari Manila dan negara Feringgi. Para pahlawan Melaka pun menemukan kegagalan dan seterusnya berundur ke selatan. Di sini, mereka mendirikan sebuah kerajaan baharu yang dikenali sebagai Kerajaan Johor Lama. Maka, Hang Tuah terus menghilangkan diri dan beliau tidak pernah dilihat lagi. Berita tentang Laksamana Hang Tuah juga tidak kedengaran lagi tetapi beliau dipercayai masih hidup pada akhir hikayat ini. Hikayat ini diakhiri dengan semangat nasionalisme yang kekal sehingga hari ini, iaitu “Takkan Melayu Hilang di Dunia”.


4.0 Ciri-Ciri Khusus Karya Agung Melayu Dalam Hikayat Hang Tuah

4.1 Pemikiran ( Isi dan mesej)
Isi dan mesej bermaksud pemikiran yang diketengahkan dalam sesebuah karya. Sebagai sebuah karya yang diangkat dan dinobat sebagai sebuah karya agung, salah satu ciri yang harus dimiliki oleh karya berkenaan ialah memiliki isi dan mesej. Seri Lanang Jaya, Mohd Rashid Md. Idris dan Abd. Rahman Napiah (2014:69) menyifatkan isi dan mesej dalam karya ialah pemikiran yang terdapat dalam penulisan yang dibicarakan. Dalam Hikayat Hang Tuah, terdapat beberapa isi dan mesej yang cuba diketengahkan oleh penulis epik Melayu ini.

4.1.1   Kehebatan Hang Tuah
Mana Sikana (2003) dalam Seri Lanang Jaya, Mohd Rashid Md. Idris dan Abd. Rahman Napiah (2014) menyatakan bahawa pemikiran utama Hikayat Hang Tuah ini ialah tentang kepahlawanan Hang Tuah. Dalam hikayat ini, Hang Tuah ialah seorang pahlawan merangkap wira Melayu digambarkan memiliki kehebatan yang tiada tolok bandingannya. Dalam bab dua, kehebatan Hang Tuah dan saudara-saudaranya terserlah buat pertama kalinya apabila mereka berjaya mengalahkan lanun-lanun semasa mereka dalam pelayaran menuju ke Pulau Tinggi dan Inderapura.

“…apabila hampir musuh itu ke hadapan Hang Tuah, maka ditikam oleh Hang Tuah, kena pahanya, lalu terduduk tiada dapat bangkit lagi. Maka ditikam pula oleh Hang Jebat, kena seorang, lalu lari ke perahunya mengambil sumpitan dan seligi. Maka disumpitnya akan Hang Tuah dan Hang Jebat kelima orang itu, seperti hujan yang lebat…”
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 25)

Selain itu, kehebatan Hang Tuah juga terbukti apabila raja sendiri sentiasa mendengar dan mengikuti nasihat yang diberi oleh Hang Tuah. Umum mengetahui  bahawa raja atau pemerintah pada suatu ketika dahulu mempunyai kuasa mutlak dan sukar untuk menerima pendapat daripada orang lain khususnya rakyat jelata. Namun berbeza dengan itu, kisah dalam bab dua menunjukkan raja Melaka sentiasa mendengar kata-kata daripada Hang Tuah. Petikan berikut yang terdapat menjadi bukti kepada kehebatan Hang Tuah yang satu ini.

“…barang kata Hang Tuah, kata rajalah. Jika raja hendak membunuh orang, kata Hang Tuah tiada harus mati, tiadalah mati orang itu. Jika raja hendak menangkap orang yang berdosa, jika Hang Tuah tiada menangkap, tiadalah tertangkap; dan jika sesuatu bicara, jika Hang Tuah belum masuk, bicaranya belum putus…
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 45)
                       
            Seterusnya, kehebatan Hang Tuah juga dapat dilihat sebagai pahlawan yang hebat kerana berjaya mengambil nyiur gading yang diingini oleh tuan puteri yang sedang mengandung putera sulung. Kehebatan Hang tuah ditunjukkan apabila hanya beliau seorabng sahaja yang berani memanjat Hang Tuah dapat dilihat pada petikan berikut:
…Maka pohon nyiur sebatang pokok nyiur yang sangat tinggi yang batang pokoknya telah reput dimakan anai-anai. Kehebatan itupun patahlah pada sama tengah pohonnya. Maka laksamana pun lekat pada leher nyiur itu pahanya. Apabila dilihat oleh laksamana pohon nyiur itu hampirlah akan sampai ke tanah, maka laksamana pun melompat ke bumi sambil memegang tandan nyiur itu dengan tangan kiri, tangannya kanan memegang golok itu. Maka laksamana pun terdiri dengan tandan nyiur itu dan golok sebilah, suatu pun tiada maranya. Maka segala orang yang melihat itu pun tercengang-cengang…
                                                                              (Hikayat Hang Tuah, 1997: 276-277)

4.1.2  Taat setia kepada raja
Antara isi dan mesej lain yang hendak disampaikan dalam Hikayat ini ialah taat setia. Taat setia yang dimaksudkan dalam hikayat ini ialah taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap sultan atau raja. Watak utama dalam hikayat ini iaitu Hang Tuah telah menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap raja Melaka. Buktinya, Hang Tuah sanggup membunuh sahabatnya sendiri iaitu Hang Jebat demi patuh dan ingkar terhadap arahan yang dikeluarkan oleh rajanya. Semasa ketiadaan Hang Tuah iaitu ketika Hang Tuah dikatakan telah meninggal dunia, Hang Jebat telah melakukan perkara-perkara yang memurkakan baginda. Sehubungan itu, setelah mendapat tahu bahawa Hang Tuah masih hidup, baginda meminta Hang Tuah untuk membunuh Hang Jebat. Walaupun terpaksa melakukannya dengan berat hati, Hang Tuah menunaikan juga permintaan raja itu. Hal ini dapat dibuktikan dalam petikan yang berikut :

Maka titah baginda, ‘Dapatkah kekasihku membunuh Si Jebat demikian itu?” Maka sembah laksamana, ‘Daulat tuanku, patik mohonkan ampun, patik pohonkan keris pandak patik supaya patik pergi membuangkan Si Jebat derhaka itu.”…
                                                                                      (Hikayat Hang Tuah, 1997: 375-376)


4.1.3  Kebijaksanaan Pahlawan Melayu
Kebijaksanaan pahlawan Melayu juga merupakan isi atau mesej yang terkandung dalam Hikayat Hang Tuah ini. Kebijaksanaan yang ditekankan disini ialah kebijaksanaan yang ada pada diri Hang Tuah. Setiap masalah, cabaran atau halangan yang dihadapi pasti Hang Tuah mampu untuk mencari jalan penyelesaiannya. Misalnya, Hang Tuah berjaya melihat wajah Maharaja Cina ketika mengadapnya di Benua Cina. Pada asalnya, Hang Tuah tidak berpuas hati kerana setelah beberapa kali masuk menghadap Maharaja, dia tidak berpeluang melihat wajah Maharaja Cina itu. Akhirnya, Hang Tuah mendapat buah fikiran cara untuk melihat wajah Maharaja Cina. Hang Tuah meminta tukang masak supaya memasak kangkung tanpa memotong kangkung tersebut. Oleh itu, untuk memakan sayur tersebut dia perlu mendongak. Dengan cara itu dia telah berjaya melihat wajah Maharaja Cina yang disorok-sorokkan selama ini. Situasi ini dapat dilihat dalam petikan teks berikut :
…segala Melayu pun makanlah dua tiga suap. Maka Laksamana pun mengambil  kangkung disuapnya dengan cikap emas itu lalu diangkatnya ke atas dahinya; maka disuapnya ke mulutnya sambil melihat raja Cina itu, duduk di dalam mulut naga emas bersisik akan permata Sembilan bagai rupanya , duduk di atas peterena manikam berumbai-rumbai akan mutiara, seperti dian di dalam tanglung ; demikianlah, bercahaya-cahaya seperti bulan purnama…
                                                                                      (Hikayat Hang Tuah, 1997: 445)

Selain itu, pengarang menceritakan  kebijaksanaan Hang Kadim dalam peristiwa negeri Inderapura diserang oleh ikan yang bernama Todak. Raja Inderapura memerintahkan rakyat untuk berhimpun dan menyuruh mereka menggunakan betis untuk membuat pertahan tetapi malangnya todak itu menyerang sehingga menyebabkan ramai rakyat yang mati dan luka. Kemudian, rakyat pun mengundurkan diri.    
Namun, ada seorang budak bernama Hang Kadim. Hang Kadim merupakan anak kepada Hang Jebat. Dia mencadangkan kepada Raja Inderapura untuk membuat pertahanan dengan menggunakan batang pisang. Raja Inderapura mengarahkan bendahara berbuat demikian. Bendahara pula mengerahkan rakyat membuat pertahan dengan menggunakan batang pisang. Pada suatu hari, ikan todak pun menyerang dan akhirnya mati terlekat pada batang pisang. Hal ini menunjukkan bahawa Hang Kadim seorang yang bijak dalam menyelesaikan serangan ikan todak di negeri Inderapura. Contoh petikan yang memaparkan kebijaksanaan Hang Kadim:
“…Daulat Tuanku Syah Alam, patik mohonkan ampun dan kurnia; pada bicara patik sungguh pun duli tuanku raja besar dan banyak rakyat, pada bicara patik yang hina, jangankan sebuah negeri Syah Alam ini akan bertahan, jika sepuluh buah negeri sekalipun tiadakan bertahan oleh binatang todak itu, kerana todak itu terlalu banyak.” Setelah raja mendengar sembah Hang Kadim demikian itu, maka baginda pun bertitah, “Hai budak, bagaimana bicaramu pula? Katakanlah kudengar.” Maka Hang Kadim pun berdatang sembah, “ Ya Tuanku Syah Alam, pada bicara patik, ada suatu tipunya. Baik juga kita berkotakan batang pisang; cuba kalau-kalau diturut Allah Taala, bertambah daulat Syah Alam.” Setelah baginda mendengar sembah Hang Kadim itu, maka baginda pun bertitah, “Hai bendahara, segeralah kerahkan segala rakyat kita suruh perbuat akan seperti bicara budak ini.”
                                                     (Hikayat Hang Tuah, 1997: 503)
4.1.4   Penyatuan negara melalui perkahwinan
Dalam hikayat hang tuah turut diselitkan tentang penggabungan dua negara melalui perkahwinan. Dalam bab 6 misalnya menceritakan kepulangan Hang Tuah dan rakannya dari Majapahit. Raja Majapahit bersetuju untuk mengahwinkan anaknya Raden Emas Ayu dengan Raja Melaka. Sambutan kepulangan Hang Tuah dan rakannya disambut meriah sehingga bedilan yang tidak berhenti dari di luar istana. Apabila persetujuan telah dibuat, Raja Melaka yang sangat gembira segera membuat persiapan untuk ke Majapahit. Raja Melaka dan rombongan telah ke Majapahit untuk melangsungkan perkahwinan dengan Raden Emas Ayu dengan menyediakan pelbagai hantaran. Perkata ini dapat dilihat dalam petikan dibawah:
 ... Maka kata Bendahara Paduka Raja, “Utusan kita datang itu.”Maka Bendahara Paduka Raja pun masuk menghadap raja. Tatkala itu raja pun sedang ramai dihadap orang. Setelah dilihat raja bendahara datang gopoh-gopoh itu, maka titah raja, “hai mamak bendahara, bunyi bedil apa seperti bertih di kuala itu?” “Daulat Tuanku Syah Alam, bahawa utusan kita datang dari Majapahit.” Demi mendengar sembah bendahara itu, maka raja pun terlalu sukacita.
                                                  (Hikayat Hang Tuah, 1997: 139)
4.1.5  Fitnah
Dalam bab 9 misalnya, diceritakan mengenai Hang Tuah yang dibuang ke Inderapura akibat fitnah yang telah dilontarkan kepadanya oleh menteri-menteri Melaka kerana mereka cemburu kasih sayang yang ditunjukkan oleh Raja Melaka kepada Hang Tuah. Akibatnya Raja Melaka telah memerintahkan Bendahara Paduka Raja untuk membunuh Hang Tuah. Tetapi tanpa pengetahuan Raja Melaka, Hang Tuah telah diarahkan ke Inderapura untuk berbakti kepada Bendahara Seri Buana di Inderapura. Ketika Hang Tuah di Inderapura, beliau telah mendapat perhatian oleh inang-inang Bendahara Seri Buana kerana sifatnya yang baik dan Hang Tuah juga telah menunjukkan kehandalan bermain sepak raga bersama Tun Jenal. Peristiwa ketika Raja Melaka mengetahui penzinaan Hang Tuah dan dayang istana ini dapat dilihat dalam petikan dibawah,
... “Ada patik melihat Hang Tuah itu berkata-kata seorang perempuan dalam istana Duli Yang Dipertuan; empat lima kali patik bertemu, tetapi siapa-siapa mukahnya patik tiada periksa.” ... maka raja pun terlalu murka seperti api bernyala dan seperti harimau akan menerkam. Maka titak baginda, “Wah Si Tuah! Harapnya aku akan dia maka berbuat pula akan aku demikian ini.” Maka menyuruh memanggil bendahara; maka bendahara pun segera menghadap. Belum sempat bendahara duduk maka titah raja, “Hai bendahara buangkan Si Tuah! Derhaka pada kita. Segeralah buangkan; aku tahukan matinya!”
                                                                                        (Hikayat Hang Tuah, 1997: 206-207)

4.2 Nilai budaya dan pandangan hidup
Nilai budaya dan pandangan hidup dalam konteks analisis sesebuah karya agung ialah pegangan atau falsafah yang terdapat dalam karya. Lazimnya, sesebuah karya memang mengetengahkan nilai budaya dan pegangan hidup sesebuah bangsa semasa karya berkenaan ditulis. Nilai budaya seperti pegangan sesebuah masyarakat terhadap sesebuah adat seperti nilai kasih sayang, hormat menghormati, keadilan, mengenang budi dan amalan sesuatu adat istiadat seperti adat meminang, adat perkahwinan, adat menyembah raja, dan sebagainya. Menurut Dr. Hj. Mohd, Rashid Hj.Md Idris, pandangan hidup pula ialah satu konsep yang menerangkan pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistam nilai yang tertentu (Modul Karya Agung Melayu BMS3022: 125-126). Berdasarkan hikayat ini ada menerangkan mengenai beberapa nilai budaya dan pandangan hidup masyarakat.

Contohnya dalam hikayat Hang Tuah, pembaca dapat melihat beberapa nilai budaya dan pandangan hidup masyarakat Melayu dalam karya tersebut. Hal ini demikian kerana karya ini menceritakan seorang pahlawan Melayu yang tinggal di tanah Melayu dan hidup di sekeliling orang Melayu. Jadi, nilai budaya yang terserlah sudah tentulah nilai budaya dan pandangan hidup orang Melayu. Maka, terdapat beberapa nilai budaya dan pandangan hidup yang sangat jelas dalam karya agung Hikayat Hang Tuah ini.

4.2.1   Memandang tinggi kepada adat
Setiap bangsa mempunyai adat dan pegangan hidupnya tersendiri. Hal ini berlaku juga dalam kelompok masyarakat Melayu seperti yang terdapat dalam karya agung ini. Dalam karya ini, rakyat jelata dan para pembesar sentiasa patuh kepada titah raja. Raja sentiasa disembah dan dipatuhi segala titahnya. Konsep tulah sekiranya derhaka sudah wujud sebagai satu nilai budaya dan pandangan hidup dalam masyarakat Melayu pada ketika itu. Contohnya bendahara Melaka iaitu, Bendahara Paduka Raja menyembah ke bawah duli raja Melaka semasa menghadap baginda bagi menceritakan perihal kehebatan Hang Tuah lima bersaudara.

“Daulat tuanku, inilah bernama Hang Tuah, ini bernama Hang Kasturi, ini bernama Hang Jebat, ini bernama Hang Lekir, ini bernama Hang Lekiu, tuanku, ini seorang anak patik bernama Tun Mat”
                                                     (Hikayat Hang Tuah, 1997: 44)


     Selain itu, pandai besi yang menjadi simbol kepada rakyat biasa juga menyembah dan patuh kepada titah raja. Dalam bab dua, tukang besi patuh kepada titah raja Melaka untuk membuat keris kepada Hang Tuah. Kenyataan ini dapat dilihat pada petikan berikut:

“Pada ketika itu juga baginda menitahkan pandai besi yang tua seorang berbuat keris panjang sebilah akan pakaian Hang Tuah. Dua puluh perkara besi dilakurkan dan sebara besi dihalusi menjadi sebilah keris panjang. Maka berapa lamanya keris empat puluh bilah itu pun sudahlah. Maka dipersembahkannya kepada raja.
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 44)
            4.2.2  Kesetiaan
Seterusnya, nilai budaya yang terkandung dalam Hikayat Hang Tuah ialah sifat taat kepada raja. Hang Tuah merupakan seorang yang sangat taat sangat taat kepada raja. Perkara ini dapat dilihat melalui peristiwa Hang Tuah menyelamatkan kuda Tezi milik milik Raden Bahar yang terjatuh ke dalam lubang najis. Peristiwa ini digambarkan dalam petikan tersebut:
Maka laksamana pun turun ke dalam telaga itu. Maka laksamana pun menyelam dalam telaga tahi itu; dengan mudahnya juga kuda itu pun ditarik oranglah. Maka kuda itu pun lepaslah dari dalam telaga tahi itu.
     (Hikayat Hang Tuah, 1997: 283)
Selain itu, dalam bab 10 pula ada menceritakan kesetiaan Hang Tuah untuk kembali ke Melaka untuk berbakti dengan Raja Melaka. Hang Tuah mengetahui bahawa Raja Melaka menginginkan Tun Teja iaitu anak Bendahara Seri Buana dari Inderapura. Hang Tuah mencari helah untuk Tun Teja mengikutnya kembali ke Melaka untuk dikahwinkan dengan Raja Melaka. Pada mulanya Hang Tuah telah memberi ubat pengasih kepada Tun Teja untuk menyukai Hang Tuah. Tun Teja telah mencari helah untuk mengikut Hang Tuah dan tidak mahu berkahwin dengan tunangnya iaitu Megat Panji Alam Terengganu. Kemudian apabila Tun Teja bersetuju untuk mengikut Hang Tuah untuk berkahwin di Melaka, Hang Tuah menyatakan bahawa tujuan sebenar membawa Tun Teja ke Melaka adalah untuk dikahwinkan dengan Raja Melaka. Akhirnya Hang Tuah telah membuat pula ubat pembenci agar Tun Teja membencinya. Hang Tuah ada menyimpan perasaan kepada Tun Teja tetapi kasih Hang Tuah kepada Raja Melaka adalah lebih tinggi dan sanggup melupakan Tun Teja yang cantik itu. Akhirnya Tun Teja berkahwin dengan Raja Melaka. Berikut adalah peristiwa ketika Hang Tuah membuat ubat pembenaci kepada Tun Teja,
... Setelah Tun Tuah melihat kelakuan Tun Teja itu, maka Tun Tuah pun fikir di dalam hatinya : ‘Adapun jika selaku ini juga kelakuan Tun Teja ini, nescaya gilalah akan aku. Jika demikian, baiklah kuperbuat suatu hikmat pembenci. Setelah sudah membaca pustakanya, lalu ditiupkannya ke dalam kurung itu. Maka Tun Teja pun bencilah hatinya akan Tun Tuah dan jangankan melihat rupanya, mendengar suaranya pun benci serta menutup akan telinganya...
     (Hikayat Hang Tuah, 1997: 251)

            4.2.3  Semangat Setiakawan
Seterusnya, nilai budaya yang ketara yang dapat dilihat dalam hikayat ini ialah semangat setiakawan. Berdasarkan catatan dalam bab ini, nilai setiakawan dapat ditonjolkan dalam diri Hang jebat yang berani menentang dan derhaka kepada rajanya sendiri iaitu Raja Melaka. Hal ini demikian kerana dia merasa tidak puas hati terhadap keputusan rajanya yang terlalu mengikut nafsu untuk menjatuhkan hukuman bunuh terhadap sahabat Hang Jebat sendiri iaitu Hang Tuah. Raja Melaka telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah kerana Hang Tuah dikatakan telah bersekedudukan dengan salah seorang dayang di istana baginda.
Disebabkan rasa marah yang membuak-buak, baginda terus menjatuhkan hukuman terhadap Hang Tuah tanpa usul periksa. Walhal, Hang Tuah telah difitnah dan dianiayai. Akibat didorong dengan semangat setiakawan yang menebal dalam diri, Hang Jebat ingin membalas dendam terhadap Raja Melaka. Dia menunjukkan tingkah laku yang bebas di dalam istana sehingga berani makan, minum, mandi-manda di tempat Raja Melaka, beradu di peraduan raja dan memakai pakaian raja. Hang Jebat bertindak sedemikian kerana akibat rasa geramnya terhadap Raja Melaka. Perkara ini dapat dibuktikan melalui petikan ayat yang berikut :

Maka dilihat oleh Hang Jebat raja anak beranak sudah undur dari istana. Maka ia pun terlalu sukacita lalu ia duduk di atas peterana yang keemasan tempat raja duduk itu. Maka biduan empat itu pun bernyanyilah, terlalu ramai makan minum dengan segala bunyi-bunyian. Maka Hang Jebat pun mandi berlangir pada pasu emas tempat raja mandi. Maka ia memakai bau-bauan; maka ia pun menyuruh mengambil peti pakaian raja itu. Maka diambilnya kain raja yang berpakankan emas itu dipakainya dan baju raja daripada rambuti itu pun dipakainya. Maka dastar daripada emas yang berpermata itu dipakainya. Setelah sudah maka si Jebat pun duduk di atas peterana keemasan. Maka nasi pun diangkat oranglah. Maka Hang Jebat pun makanlah seperti kelakuan raja santap; demikianlah lakunya. Setelah sudah makan maka Hang Jebat pun tidurlah pada tempat raja tidur itu.
     (Hikayat Hang Tuah, 1997: 361)
            4.2.4  Meraikan Tetamu
Adat meraikan tetamu merupakan nilai budaya yang ditonjolkan dalam Hikayat Hang Tuah ini.  Berdasarkan bab 6, iaitu ketika peminangan Raden Emas Ayu dipersetujui oleh Raja Majapahit, Raja Melaka sangat gembira dan mengalu-alukan kepulangan rombongan meminang dengan gembira sekali. Raja Melaka juga segera memerintahkan menteri-menterinya menyediakan kelengkapan untuk berangkat ke Majapahit untuk melangsungkan perkahwinan di sana. Ketika Raja tiba di Majapahit, mereka disambut dengan meriah sekali dan Raja Majapahit telah menyediakan sebuah istana di kampung Patih Gajah Mada. Patih Gajah Mada ialah orang bawahan kepada Seri Betara Majapahit iaitu Raja Majapahit. Perkara ini dapat dilihat pada petikan dibawah,
... Maka Seri Betara pun memberi titah kepada Patih Gajah Mada, “Sudahkah tuan hamba perbuat istana anak kita Raja Melaka, kalau-kalau anak kita hendak melihat istana tempat berhenti?” Maka sembah Patih Gajah Mada, “Daulat Tuanku Paduka Bentara” Maka Seri Betara pun bertitah kepada raja Melaka, “Ya, anakku, baik juga anakku silakan melihat istana tempat anakku duduk itu,” Maka sembah raja Melaka “Mana titah patik junjung.”...
                                                         (Hikayat Hang Tuah, 1997: 151)

            4.2.5  Mementingkan Adat Resam
Masyarakat Melayu mementingkan adat resam dan mengamalkannya dalam kehidupan harian mereka. Adat resam ini termasuklah pantang larang dan adat istiadat yang diamalkan sejak turun temurun lagi. Antara adat yang sering diamalkan oleh masyarakat Melayu seperti adat perkahwinan, pertabalan raja, dan lain-lain. Contoh petikan dalam Hikayat Hang Tuah bab 22 yang menunjukkan masyarakat Melayu mementingkan adat perkahwinan seperti di bawah ini:
Setelah ke esok harinya maka baginda pun berangkat keluar dihadap oleh segala pegawai dan pertuanan sekalian. Maka titah baginda, “Hai mamak bendahara, kerahkan segala orang suruh berjaga-jaga.” Maka segala pegawai dan pertuanan sekalian pun berjaga-jagalah memalu bunyi-bunyian masing-masing dengan tahunya, terlalu ramai tujuh hari tujuh malam. Setelah sudah maka Sultan Mahmud pun dihiaslah dengan selengkapnya lalu dinaikkan ke atas gajah. Maka cogan alamat pun terdirilah lalu berarak. Maka segala orang isi negeri Melaka pun penuh sesak melihat anak raja berarak itu.
                                                       (Hikayat Hang Tuah, 1997: 496)
Peristiwa ini menceritakan adat perkahwinan diraja iaitu, perkahwinan Sultan Ahmad dengan anak Bendahara Terengganu. Sultan Ahmad diarak sampai ke rumah bendahara dengan menaiki gajah. Sultan Ahmad disambut oleh bendahara dan didudukkan di atas peterana yang keemasan. Hal ini menunjukkan bahawa dari dahulu lagi adat perkahwinan diamalkan oleh masyarakat Melayu.

4.3 Nilai Ilmu
Seri Lanang Jaya, Mohd Rashid Md. Idris dan Abd. Rahman Napiah (2014) menyatakan konsep nilai dan etika dalam konteks masyarakat Melayu sangat berkait rapat dengan perkara yang dianggap sebagai mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Tidak setakat itu, nilai juga dikaitkan dengan agama Islam bagi masyarakat Melayu. Bagi konteks nilai ilmu, pelbagai jenis nilai ilmu yang diketengahkan dalam karya agung Melayu khususnya Hikayat Hang Tuah ini.

      4.3.1  Ilmu membuat senjata
Dalam hikayat Hang Tuah, istilah ‘pandai besi’ merujuk kepada orang yang pandai membuat senjata. Berdasarkan istilah tersebut, ilmu membuat senjata khususnya keris memang sangat dikagumi pada ketika itu. Istilah ini digunakan dalam bab dua apabila raja Melaka menitahkan orang untuk membuat senjata bagi keperluan Hang Tuah. Kenyataan ini dapat dilihat dalam petikan tersebut:

“Pada ketika itu juga baginda menitahkan pandai besi yang tua seorang berbuat keris panjang sebilah akan pakaian Hang Tuah. Dua puluh perkara besi dilakurkan dan sebara besi dihalusi menjadi sebilah keris panjang. Maka berapa lamanya keris empat puluh bilah itu pun sudahlah. Maka dipersembahkannya kepada raja.
                  (Hikayat Hang Tuah, 1997:44)

4.3.2  Ilmu Berburu
Ilmu berburu ini dibuktikan dalam bab dua apabila Hang Tuah dan saudara-saudaranya serta Tun Mat mendapat hasil buruan yang banyak di pulau Biram Dewa. Semasa berburu ini jugalah Hang Tuah mendapat seekor ular cintamani. Petikan tersebut dalat dilihat di bawah:

Setelah sampai di rumah, maka kata bendahara, “Banyakkahanakkku beroleh perburuan?”. Maka sembah Tun Mat “Banyak, tuanku, beroleh perburuan.”
                  (Hikayat Hang Tuah, 1997:43)

            4.3.3  Ilmu bahasa dan agama
Dalam hikayat ini, Hang Tuah memiliki ilmu dalam bidang nahu dan agama iaitu agama Islam. Hal ini terbukti dalam awal bab dua apabila Hang Mahmud mendapat mimpi yang sangat aneh tentang Hang Tuah. Selepas itu, Hang Mahmud pun berpindah dari Sungai Duyung ke Bentan dan mendirikan rumah berdekatan dengan kampung Bendahara Paduka raja. Di Bentan, Hang Mahmud menghantar Hang Tuah belajar mengaji dengan seorang lebai.

“…maka Hang Mahmud pun diserahkan anaknya mengaji kepada seorang lebai. Telah berapa lamanya Hang Tuah mengaji Quran, maka pengajian itu pun tamatlah. Maka Hang Tuah mengaji nahu pula.”
                    (Hikayat Hang Tuah, 1997:23)
           
            4.3.4  Ilmu firasat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), firasat ditakrifkan sebagai  pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat.
Firasat tilik nasib dalam Hikayat Hang Tuah memaparkan dengan jelas dalam bab 24 mengenai Hang Tuah dapat mengetahui bahawa akan berlaku sesuatu peristiwa yang buruk sekiranya melakukan perjalanan apabila matahari sedang naik. Petikan yang menceritakan ilmu firasat tilik nasib oleh Hang Tuah:
Syahadan maka laksamana pun menurunkan  segala perahunya dan mengerahkan segala orangnya berlengkap. Setelah sudah mustaid maka datanglah kepada tujuh harinya. Maka bendahara dan laksamana pun masuk mengadap berdatang sembah, “Daulat tuanku, patik dititahkan berlengkap itu sudahlah patik lengkapi seperti titah Duli Yang Dipertuan itu. Maka titah patik junjung, tetapi pada bicara patik, baiklah Duli Syah Alam berangkat pada tengah naik matahari ini, alamat geroda alah oleh ular.” Maka baginda pun berangkat masuk mendapatkan isterinya keduanya, seraya bertitah, “Marilah adinda turun, kerana hari sudah tinggi
                                                    (Hikayat Hang Tuah, 1997: 514)
            Apabila melakukan perjalanan ke Singapura, iaitu Selat Melaka, baginda telah ternampak seekor ikan emas yang sangat cantik. Kemudian, baginda memandang ke bawah perahu sehingga mahkotanya terjatuh ke dalam air. Lalu, Hang Tuah terjun untuk mendapatkan mahkota baginda dan ketika hampir ke perahu, tiba-tiba seekor buaya putih datang menyambar kerisnya, lalu Hang Tuah terkejut dan menyebabkan mahkota terjatuh kembali.  Kemudian, Hang Tuah menarik ekor buaya tersebut sehingga lemas. Akhirnya, timbul kembali tanpa mahkota dan keris. Setelah Hang Tuah kehilangan keris dan baginda kehilangan mahkota, kedua-duanya menjadi sakit dan demam. Peristiwa ini menunjukkan bahawa benar perkara buruk akan berlaku seperti yang ditilik nasib oleh Hang Tuah sekiranya melakukan perjalanan ketika matahari sedang naik.
Selain itu, pada bab 14 juga ada menekankan tentang kepercayaan dengan nilai ilmu firasat. Ilmu firasat ini merupakan ilmu  mereka yang mampu mengetahui suatu hal dengan mempelajari tanda-tandanya. Sebagai contoh, kita dapat lihat dalam petikan tersebut:
Maka kata Patih, “Mengapa maka anak laksamana tiada mahu minum?” Maka kata laksamana, “Adapun firasat orang bijaksana dan berani itu, apabila ada suatu tandanya gerakan-gerakan dirasainya, maka hendaklah barang sesuatu makanan dan minuman itu diunduri;…
                              (Hikayat Hang Tuah, 1997:326)
            Seterusnya, ilmu firasat turut dapat dibuktikan dalam hikayat pada peristiwa  ketika Hang Tuah dan rakannya berguru dengan Sang Pertala Nala di Gunung Wirana Pura setelah selesai majlis perkahwinan Raja Melaka dan Raden Emas Ayu, Sang Pertala Nala telah mengajar mereka berlima tentang pelbagai ilmu seperti ilmu perajurit dan ilmu hulubalang. Ketika itu Sang Pertala Nala telah meramalkan bahawa Hang Jebat akan menjadi seorang yang berjawatan besar dan tinggi di Melaka tetapi akhirnya beliau akan mati ditikam senjata tajam. Perkara ini dapat dilihat di petikan dibawah,
... Setelah laksamana mendengar kata Sang Persata Nala demikian itu, maka laksamana pun bermohonlah kelimanya kepada Sang Persata Nala. Maka kata Sang Persata Nala kepada Hang Jebat, “Anakku seorang ini beroleh kebesaran kembali dari Majapahit ini, tetapi kematian anakku ini tiada baik; mati kerana senjata.”...
                                           (Hikayat Hang Tuah, 1997: 174-175)

            4.3.5  Ilmu Pukau
Di samping itu, ilmu pukau juga merupakan salah satu ilmu yang terdapat dalam hikayat ini. Ilmu pukau yang dimaksudkan ini dimiliki oleh Kertala Sari iaitu orang suruhan Patih Gajah Mada yang telah dihantar ke negeri Melaka. Ketika di Melaka, Kertala Sari ditugaskan untuk menimbulkan kekacauan. Berbekalkan ilmu pukau yang dimilikinya, dia telah mencuri harta-harta saudagar yang kaya-raya di negeri Melaka. Bukan itu sahaja, malahan Kartala Sari turut menggunakan ilmu pukau yang dimilikinya untuk mencabul isteri saudagar yang dirompaknya. Perkara ini jelas dibuktikan dalam petikan di bawah ini :

Sebermula maka Kertala Sari pun masuk ke dalam. Maka dilihatnya oleh Kertala Sari orang berkawal terlalu banyak dengan alat senjatanya. Maka Kertala Sari pun membaca pustakanya lalu berjalan di tengah orang banyak itu. Maka ia pun pergi ke rumah seorang kaya. Maka dicurinya harta yang kemas-kemas itu lalu dibawanya kembali dan bini orang kaya-kaya itu dicabulinya. Maka ia pun kembali ke tempatnya.
                  (Hikayat Hang Tuah, 1997:404)
4.3.6  Ilmu pengasih
Ilmu pengasih merupakan ayat yang dibacakan atas tujuan untuk memberi orang lain suka kepada diri yang membacanya tak kira dari segi hubungan atau layanan mereka terhadap pengamal ayat pengasih ini. Ianya bertujuan untuk memberikan orang lain suka atau menjadi senang apabila berhadapan dengan orang yang mengamalkan ilmu pengasih ini.
Dalam hikayat ini, Ketika Hang Tuah mengetahui bahawa inang Dang Ratna telah dipukul dengan tempurung berbulu sehingga berdarah mulutnya akibat menyampaikan hasrat Hang Tuah yang menyukai Tun Teja. Tun Teja amat marah kerana mereka tidak setaraf dan tidak layak berdamping dengannya yang merupakan anak kepada Bendahara Seri Buana. Apabila Hang Tuah melihat Dang Ratna yang dipukul itu, Hang Tuah telah membuat ubat pengasih untuk diletakkan di tempat Tun Teja sering beristirehat. Ubat itu telah diberikan kepada Dang Ratna untuk diletakkan ditempat biasa Tun Teja duduk. Akhirnya Tun Teja mula mencintai Hang Tuah dan meminta inangnya memanggil Hang Tuah untuk mencurahkan isi hatinya kepada Hang Tuah. Perkara ini dapat dilihat dalam petikan dibawah,
... Setelah Tun Tuah beroleh jebat itu, maka Tun Tuah pun kembalilah ke rumahnya berbuat suatu guna pengasih namanya. Setelah sudah diperbuat suatu guna itu, maka pada malam itu juga Tun Tuah berjaga membaca pustakanya datang siang...
                                                    (Hikayat Hang Tuah, 1997: 232)


4.4 Teknik Kepengarangan
Menurut Seri Lanang Jaya, Mohd Rashid Md. Idris dan Abd. Rahman Napiah (2014), Hikayat Hang Tuah dikarang oleh seorang yang pintar dan bijak dalam ilmu mengarang yang digelar dengan nama Tun Bestari. Pengarang melakar dan memberi gambaran tentang kehebatan pahlawan yang tiada tolok bandingnya. Dalam Hikayat Hang Tuah ini, pengarang ada menggunakan beberapa teknik kepengarangan yang baik, antaranya ialah:

4.4.1  Teknik urutan ruang.
Teknik urutan ruang menurut Abu Hassan Abdul (2013) merujuk kepada penggunaan unsur ruang dalam karya. Dalam hikayat ini, pengarang ada menggunakan teknik kepengarangan ini. Contohnya:

“Sebermula nakhoda itu pun sampailah ke Palembang. Maka ia pun berlengkap persembahan. Setelah sudah maka lalu ia berjalan ke Bukit Siguntang.”
                 (Hikayat Hang Tuah, 1997:14)

            4.4.2 Pantun
Hikayat ini juga diselitkan juga dengan pantun iaitu ketika lima sahabat sedang bersukaria di taman larangan Betara Majapahit sebelum kembali ke Melaka. Hal ini berlaku kerana mereka ingin membalas dendam terhadap Betara Majapahit yang cuba membunuh Hang Tuah dan telah mengupah orang untuk seramai 1000 orang untuk menangkap Hang Tuah dan sahabatnya tetapi menenmui kegagalan.  Antara pantun antara Hang Jebat dan Hang Kasturi ialah,
Hang Jebat Hang Kasturi
Budak-budak raja Melaka
Jika hendak jangan dicuri
Mari kita bertentang mata.

Lokan melata di perahu
Belah balang bert.n.d.w.a.n
Bukan aku tiada tahu
Akulah hulubalang minta lawan.
                                                           (Hikayat Hang Tuah, 1997:195)

4.4.3  Unsur Mitos
Dalam Hikayat Hang Tuah ini terdapat unsur mitos yang dimasukkan dalam proses kepengarangannya. Unsur mitos dikenali sebagai unsur yang penuh dengan kesaktian dan magis. Sebagai contoh, dalam bab yang ke 19 Hikayat Hang Tuah ini ada menyatakan bahawa Pulau Biram Dewa merupakan pulau keramat kerana sesiapa sahaja yang singgah di pulau itu pasti akan turun ribut taufan dengan tidak semana-mana. Pernyataan ini adalah mitos yang tidak logik untuk diterima dek akal manusia. Hal ini kerana secara saintifiknya, kejadian ribut taufan tidak ada kaitan langsung dengan mana-mana pulau. Oleh itu, pernyataan ini dianggap sebagai unsur mitos yang tidak sesuai diterima pakai. Unsur ini jelas dibuktikan dalam petikan yang berikut :
Maka laksamana pun bertanya, ‘Hai mualim, pulau apa namanya ini?’ Maka kata mualim itu, ‘Hai panglima kami, inilah pulau yang bernama Biram Dewa itu. Adapun pulau ini tiada pernah orang singgah.’ Maka kata laksamana, ‘Apa sebabnya?’ Maka kata mualim, ‘Barang siapa singgah pada pulau ini maka turunlah rebut taufan kelam-kabut tiada berketahuan’. Maka kata laksamana pada mualim, ‘Pada bicara hamba, hamba hendak singgah di pulau ini, kerana hati hamba terlalu berahi.’ Maka kata mualim, ‘Mana bicara orang kaya panglimalah.’ Maka laksamana pun berkata, ‘Hai jurumudi, belokkan Mendam Berahi ini.’ Maka dibelokkannyalah oleh jurumudi. Maka angin pun turunlah terlalu keras dan ombak pun terlalu besarlah.
                    (Hikayat Hang Tuah, 1997:413)

4.4.4  Penggunaan Bahasa Klasik
Bahasa Melayu klasik merupakan bahasa yang serius dan abadi nilainya,  tertinggi mutunya dan menjadi standard kepada yang lain.   Dalam hikayat ini, pengarang telah menggunakan bahasa klasik untuk menyampai penceritaan. Sebagai contoh, penyampaian cerita dalam Hikayat Hang Tuah dimulai dengan sebermula, alkisah maka tersebutlah, syahadan, hatta, arkian dan sebagainya. Antara beberapa contoh petikan yang dipetik dalam Hikayat Hang Tuah yang dimulai dengan perkataan-perkataan tersebut ialah:

SEBERMULA raja Melaka hendak mengurus ke Benua Siam.
                    (Hikayat Hang Tuah, 1997:469)

ALKISAH maka tersebutlah perkataan raja Melaka hendak menyuruhkan orang ke Sailan membeli permata intan hendak diperbuatkan pakaian anakanda baginda.
                  (Hikayat Hang Tuah, 1997:479)

Hatta maka Raja Chulan pun sampailah ke balai gendang lalu turun di atas gajahnya berjalan masuk.
                   (Hikayat Hang Tuah, 1997:484)

Arkian maka laksamana pun masuk ke dalam istana raja Terengganu; dilihat raja sudah undur, tinggal lagi di istana itu Puteri Sekanda Jaya Leka dengan Megat Maksum anak Megat Kembar Ali.
                                              (Hikayat Hang Tuah, 1997: 494)
4.4.5  Penggunaan Bahasa Istana
Selain itu, bahasa istana juga digunakan dalam Hikayat Hang Tuah. Bahasa istana merupakan bentuk bahasa yang digunakan dalam kerabat diraja, apabila berhubung dengan kerabat diraja dan hal ehwal yang berkaitan dengan raja. Antara bahasa istana yang digunakan adalah seperti berikut:
            …Maka pada hari baginda duduk semayam.
                                                 (Hikayat Hang Tuah, 1997: 469)
Perkataan baginda yang merujuk kepada kata sapaan rakyat kepada raja dan perkataan semayam pula membawa maksud duduk atau tinggal.
            …Daulat tuanku, patiklah ke Benua Siam itu.
                                                 (Hikayat Hang Tuah, 1997: 469)
Perkataan daulat pula membawa maksud bahagia dan patik merujuk kepada rakyat yang menghadap raja.

4.5 Seni Bahasa
Seni bahasa boleh juga diertikan sebagai retorik dalam berbahasa. Seni bahasa ialah unsur estetika dan keindahan dalam karya. Dalam karya Hikayat Hang Tuah, pelbagai retorik digunakan sebagai daya penarik untuk mengindahkan lagi nilai karya. Terdapat beberapa seni bahasa yang digunakan dalam karya agung Melayu ini.

4.5.1  Majaz Pertentangan
Majaz pertentangan merupakan seni bahasa yang menggunakan kata yang bertentangan, simbolik, dan berhubungan. Abu Hassan Abdul (2013) menjelaskan bahawa majaz pertentangan ini merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang saling bertentangan dari segi makna, sama ada secara simbolik, tersurat atau tersirat dalam struktur ayat yang sama atau yang berhubungan. Salah satu majaz yang banyak digunakan dalam Hikayat Hang Tuah ini ialah hiperbola. Hiperbola merupakan penggunaan istilah yang membesar-besarkan, berlebih-lebihan dan melebih-lebihkan sesuatu perkara. Penggunaan hiperbola ini jelas dalam lima apabila pengarang menggambarkan kecantikan Tun Teja, anak Bendahara Seri Buana di Inderapura.

Rupanya terlalu amat elok seperti bulan purnama empat belas hari bulan, gilang-gemilang kilau-kilauan, tiada dapat ditentangnya
                                                 (Hikayat Hang Tuah, 1997: 111)
Selain itu, teknik ini juga digunakan bagi menggambarkan tentang anak yang dilahirkan oleh Tuan Puteri Kemala Pelinggam iaitu Sang Sapurba, anak kepada Sang Perta Dewa dalam bab satu.
“ …berputeralah seorang laki-laki terlalu elok rupanya seperti empat belas ahribulan, berseri-seri, serta keluar itu dengan mahkotanya.”
                                                      (Hikayat Hang Tuah, 1997: 5)

            4.5.2   Anafora
Anafora bermaksud pengulangan perkataan pada permulaan klausa. Antara contohnya dalam hikayat ini ialah:
Maka Tun Tuah pun melompat naik ke atas peseban lalu ia menyembah betara Majapahit dan sujud pada kaki raja Melaka. Maka oleh raja Melaka diciumnya kepada Tun Tuah. Maka segala oleh raja dan segala ceteria, perdana menteri, hulubalang sekaliannya banyak mati dan luka atas peseban itu dan dibawah peseban. Maka bangkai pun terlalu banyak dibawa oleh orang pulang ke rumahnya. Maka bangkai Taming Sari pun ditarik oranglah lalu digantungkannya di pasar pesara itu.
                                                      (Hikayat Hang Tuah, 1997: 167)
            4.5.3   Polisindeton
Polisindeton pula ialah gaya bahasa perulangan kata di dalam ayat dan untuk menyambung ayat yang panjang tanpa menggunakan noktah. Di dalam petikan dibawah menujukkan contoh yang menggunakan perkataan ‘dan’,
Maka laksamana dan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu pun diajar oleh Sang Persata Nala akan ilmu segala penjurit dan hulubalang, tetapi terlebih juga laksamana; diajarnya pelbagai ilmu dan syarat hulubalang dan ilmu penjurit itu, kerana laksamana, selama duduk di gunung itu, tiada ia tidur dan makan dan tiada ia bercerai dengan Sang Persata Nala itu...
                                                 (Hikayat Hang Tuah, 1997: 174)
            4.5.4  Perumpamaan
Dalam Hikayat Hang Tuah dalam bab 12 misalnya,  penulis menggunakan teknik perumpamaan dalam menyatakan sesuatu perkara. Sebagai contoh,, kita dapat lihat daripada petikan ini:
Syahadan buahnya pun setandan dan airnya terlalu manis seperti serbat rasanya dan isinya seperti seri kaya.
                                               (Hikayat Hang Tuah, 1997: 275)

Contoh di atas menunjukkan penulis ingin menggambarkan kemanisan dan kelazatan nyiur gading yang diidamkan oleh tuan puteri. Rasa manis tersebut telah diumpamakan dengan serbat dan seri kaya.
            4.5.5  Retorik penerangan
Retorik merupakan seni penggunaan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan idea secara tersusun, menarik dan mampu untuk memberikan impak kepada pendengar dan pembaca. Salah satu retorik yang digunakan dalam hikayat ini ialah retorik penerangan. Retorik penerangan bermaksud penerangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain. Dalam bab 17, retorik penerangan telah diaplikasikan oleh pengarang ketika Tun Pekerma dan Tun Kasturi dititahkan oleh Raja untuk menjemput laksamana Hang Tuah pulang. Ketika bertemu dengan laksamana Hang Tuah di dusun Syeikh Mansur, Tun Pekerma dan Tun Kasturi telah menerangkan tujuan mereka ke situ. Contohnya adalah seperti di bawah ini :
Maka Tun Pekerma dan Tun Kasturi pun naik duduk, seraya berkata, ‘Titah Duli Yang Dipertuan memanggil orang kaya, kerana Duli Yang Dipertuan terlalu sangat rindu dendam akan orang kaya; bermula anakanda Hang Nadim pun diambil oleh baginda diangkat anak.’ Setelah sudah menyampaikan demikian, maka Tun Pekerma dan Tun Kasturi pun menyembah kepada Syeikh Mansur.
                                                    (Hikayat Hang Tuah, 1997: 373)

5.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang menceritakan keperwiraan seorang pahlawan Melayu. Epik ini telah mengemukakan watak Hang Tuah sebagai tokoh agung bagi bangsa Melayu dan sebagai lambang kemegahan dan kekuatan bangsa Melayu. Bak kata Hang Tuah “Takkan Melayu Hilang di Dunia”.  Secara keseluruhannya, Hikayat Hang Tuah ini mempunyai ciri-ciri karya agung Melayu yang tersendiri yang boleh dikupas secara mendalam dan terperinci.
















3 comments:

  1. terima kasih atas perkongsian ilmu ini.

    ReplyDelete
  2. terima kasih kerana memberi input yang berguna kepada saya dan saya akan memanfaatkan maklumat ini sebaik-baiknya.

    ReplyDelete
  3. Hotels Near Casinos and Hotels - MapYRO
    Find the best 여수 출장마사지 hotels 군포 출장마사지 near Casinos and Hotels, Nevada in 김해 출장안마 Maricopa, AZ. Make your stay at one of 나주 출장안마 21 hotels within a 과천 출장안마 15-minute drive.

    ReplyDelete