Wednesday 13 May 2015

Analisis Gurindam 12 oleh: Cikgu Amieliana

1.0              Pengenalan

Gurindam adalah satu bentuk puisi Melayu lama yang terdiri daripada dua baris serangkap.  Perkataan ‘Gurindam’ berasal daripada Bahasa Sanskrit menerusi Bahasa Tamil (India), iaitu ‘Kirindam’ yang membawa maksud perumpamaan. Gurindam adalah kata-kata mutiara yang berbentuk puisi yang umumnya berupa nasihat. Peranan atau fungsi gurindam dalam masyarakat Melayu, iaitu sebagai tujuan didikan, hiburan, gambaran masyarakat Melayu lama dan digunakan dalam majlis formal.
Antara gurindam yang terkenal pada zaman dahulu ialah Gurindam 12. Gurindam 12 merupakan sekumpulan syair yang diciptakan oleh Raja Ali Haji yang merupakan Sasterawan Melayu pada awal abad ke-19. Raja Ali Haji merupakan seorang ulama, ahli sejarah serta tokoh yang terkenal dalam arena bahasa.  Nama sebenar beliau ialah Raja Ali Haji bin Raja Ahmad dan beliau dilahirkan pada tahun 1808 Masihi di Pusat Kesultanan Riau-Lingga, Pulau Penyengat yang merupakan kawasan  pentadbiran keluarga beliau sendiri. Selain daripada Gurindam 12, terdapat puisi-puisi lain yang dihasilkan oleh beliau, iaitu Inilah Ikat-ikatan Dua Belas Puji, Syair Hukum Faraid, Syair Suluh Pegawai, Syair Gemala Mastika Alam, Syair Nasihat (Thamarat al-Muhimmah), Syair Siti Sianah, Syair Gemala Mestika Alam dan Syair Sultan Abdul Muluk.  
 Tujuan Raja Ali Haji mencipta gurindam ini sebagai mas kahwin untuk diberikan kepada Engku Puteri Hamidah yang tinggal di Pulau Penyengat. Mas kahwin ini dipahatkan di batu marmar sebagai bukti rasa cintanya. Karya ini dikenali sebagai Gurindam 12 kerana mengandungi 12 fasal. Gurindam ini dikategorikan sebagai puisi didaktik kerana mempunyai nasihat dan petunjuk menuju hidup yang diredhai Allah.

2.0              Falsafah dan Pemikiran
Falsafah dalam Mohd Rashid Md Idris (2014) bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi  dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Terdapat bidang falsafah yang diberi penekanan ialah etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik, dan logik. Pemikiran pula bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan.

2.1              Falsafah
        2.1.1        Falsafah Etika

Gurindam 12 fasal pertama ini mengandungi unsur falsafah etika yang pemikirannya tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Hal ini demikian kerana, gurindam ini menerangkan nasihat tentang keagamaan yang menyatakan bahawa setiap manusia harus memiliki agama kerana agama sangat penting dalam kehidupan manusia manakala orang yang tidak memiliki agama maka ia tiada pegangan hidup. Hal ini diibaratkan seperti rumah tidak bertiang, maka robohlah.

   Orang yang mengenal Allah S.W.T perlu melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebagai pengajarannya, kita hidup di dunia hanyalah sementara dan segala amalan manusia dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Petikan di bawah ini merupakan gurindam fasal pertama:
            Satu
Barang siapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
Maka ia itulah orang yang ma’rifat
Barang siapa mengenal Allah,
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
Barang siapa mengenal akhirat,
Tahulah ia dunia mudarat.

2.1.2   Falsafah Sosial
Fasal ketiga dan keempat Gurindam 12 mengandungi makna tentang budi pekerti dan tabiat yang mulia, sememangnya berkaitan dengan falsafah sosial yang memberikan gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual.
Pengarang menyatakan sebagai orang Islam, kita perlu menggunakan mata dengan sebaik-baiknya dan tidak melihat apa-apa yang dilarang oleh Allah S.W.T, telinga pula dijauhkan daripada mendengar segala hasutan, jangan mengambil barang yang bukan hak kita serta menjaga kelakuan dan kata-kata dengan sebaik-baiknya. Masyarakat Islam perlu mengamalkan cara hidup yang bercorak keislaman dengan mengamalkan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala Larangan-Nya. Berikut merupakan fasal ketiga dan keempat yang dipetik daripada Gurindam 12:

Tiga
Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
Niscaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fi’il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.

Empat
Hati itu kerajaan di dalam tubuh,
Jikalau zalim segala anggota tubuh pun rubuh.
Apabila dengki sudah bertanah,
Datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,
Di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
Nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikit pun berbuat bohong,
Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung.
Tanda orang yang amat celaka,
Aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,
Itulah perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,
Janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,
Mulutnya itu umpama ketor.
Di mana tahu salah diri,
Jika tidak orang lain yang berperi.

2.1.3    Falsafah Politik
Gurindam 12 ini juga mengandungi falsafah politik yang menyentuh hal yang berkaitan dengan sikap pemerintah khususnya ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seorang raja. Gurindam ini mempunyai nasihat kepada para pemimpin agar menghindari tindakan yang tercela, berusaha dalam melakukan tugas serta tidak khianat. Struktur falsafah politik dalam Gurindam 12, iaitu raja tidak memerintah secara mutlak tetapi raja mendapatkan nasihat daripada menteri demi kepentingan rakyat. Oleh itu, raja dan menteri perlu menjaga hubungan mereka dengan baik dan harus bekerjasama untuk memerintah negara.
Seterusnya, raja yang baik atau raja yang mendapat petunjuk dari Allah merupakan raja yang adil terhadap rakyatnya. Oleh itu, raja perlulah bersikap adil kepada rakyat terutama dalam melaksanakan sesuatu hukum mestilah mengikut hak asasi manusia. Antara beberapa fasal yang mengandungi falsafah politik:
Sebelas
Hendaklah berjasa,
Kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,
Buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,
Buanglah khianat.
Hendak marah,
Dahulukan hujjah.
Hendak dimalui,
Jangan memalui.
Hendak ramai,
Murahkan perangai.

Dua belas
Raja mufakat dengan menteri,
Seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.
Hukum ‘adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh ‘inayat.
Kasihkan orang yang berilmu,
Tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,
Tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,
Itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
Kepada hati yang tidak buta.


2.2       Pemikiran dalam Gurindam 12

Pengarang mencipta Gurindam 12 ini pada hakikatnya merupakan cerminan, perasaan, pengalaman, dan pemikiran yang berkaitan dengan hubungannya dengan hidup dan kehidupan manusia di dunia ini.
Dalam gurindam ini juga pengarang mengungkapkan pemikiran dan cita-cita keagamaannya yang pada dasarnya mempunyai perkaitan dengan sumber gurindam sebagai karya sastera, iaitu bidang agama. Hal ini boleh dikatakan agama Islam dijadikan sebagai sumber ilham untuk mencipta gurindam tersebut kerana agama Islam mengandungi nilai-nilai Islam yang menjadi petunjuk jalan bagi umat Islam.
            Pengarang juga mementingkan agama untuk dipegang oleh seseorang. Hal ini demikian kerana, hanya orang-orang beragama sahaja namanya wajar disebut-sebut oleh orang lain. Tujuan gurindam ini dicipta untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat yang beragama Islam tentang betapa pentingnya agama dalam kehidupan untuk mendapatkan keredhaan Allah.

3.0              Kepengarangan dan Estetika
Kepengarangan dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang. Keperibadian dalam Mohd Rashid Md Idris  (2014) merupakan kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Prinsip keperibadian merupakan klimaks dalam perjuangan seseorang pengarang, ia harus berusaha untuk membina teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian masing-masing. Estetik pula rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran.

3.1              Kepengarangan

3.1.1        Kepengarangan Raja Ali Haji

Raja Ali Haji terkenal sebagai seorang sasterawan di Kepulauan Riau dan pada masa yang sama diakui sebagai salah seorang Pahlawan Nasional. Gurindam 12 ini bertemakan nasihat supaya memelihara anggota diri dan berbudi pekerti yang meletakkan Raja Ali Haji sebagai penulis yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Hal ini demikian kerana, beliau menerapkan nasihat yang bercorak keislaman dalam Gurindam 12. Gurindam 12 ini juga membahaskan tentang persoalan akidah dan tasawuf, syariat Islam, rukun Islam, budi pekerti atau akhlak serta konsep pemerintahan.
Beliau juga banyak menggunakan bahasa Arab seperti perkataan ‘makrifat’. Raja Ali Haji menulis gurindam ini seolah-olah pembaca memahami perkara yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, beliau menulis dalam fasal 1 yang dipetik daripada Gurindam 12 “Barang siapa mengenal yang empat” tetapi beliau tidak memberikan penerangan berkenaan empat perkara yang hendak disebutkan itu.
            3.2       Estetika
3.2.1    Penstrukturan Gurindam 12
Gurindam 12 merupakan sekumpulan syair yang diciptakan oleh Raja Ali Haji. Beliau memilih tema dan persoalan gurindam berdasarkan unsur keagamaan. Rangkap dalam setiap fasal gurindam mempunyai dua baris atau beberapa baris dalam serangkap. Setiap baris ke baris membawa makna yang lengkap dan saling berkaitan antara baris pertama dengan baris yang berikutnya. Baris pertama dikenali sebagai soalan dan baris kedua pula sebagai jawapan.
Kata-kata yang terdapat dalam gurindam tersebut sememangnya berupa nasihat yang sangat berguna dan bersifat universal bagi masyarakat, khususnya masyarakat di tempat kediaman Raja Ali Haji, iaitu masyarakat Melayu. Hal  ini berkemungkinan pada masa itu ajaran Islam mendominasi dalam kehidupan bermasyarakat di kebudayaan Melayu serta melancarkan proses pengislaman di wilayah tersebut terutamanya Kepulauan Riau.
Gurindam 12 ini juga terdiri daripada rima akhir aa dan setiap rangkap hanya terdiri daripada dua baris sahaja.  Daripada aspek bilangan perkataan pula, setiap baris dalam gurindam ini hanya terdiri daripada dua hingga enam perkataan.

4.0       Kesimpulan
Kesimpulannya, Gurindam 12 mempunyai kekuatan yang tersendiri melalui aspek falsafah, pemikiran, estetika dan kepengarangan. Gurindam ini sangat terkenal dan dijadikan salah satu  puisi dalam Antologi Puisi Tingkatan 4. Hal ini demikian kerana, gurindam tersebut sesuai dijadikan bahan bacaan untuk pelajar kerana mengandungi unsur-unsur nasihat yang berguna kepada masyarakat terutamanya pelajar.
 Raja Ali Haji juga salah seorang tokoh karya agung unggul kerana telah banyak menyumbang dalam dunia penulisan. Karyanya merangkumi pelbagai bidang, iaitu keagamaan, kesusasteraan, bahasa dan sebagainya. Beliau menghasilkan karya melalui pemerhatian terhadap alam sekeliling supaya masyarakat mengambil pengajaran daripada hasil karya yang dihasilkan olehnya.

No comments:

Post a Comment