Saturday 16 May 2015

Analisis Gurindam 12 oleh: Cikgu Jenny

1.0         Pengenalan


Dalam tradisi kesusasteraan Melayu, kemunculan genre puisi tidak jauh berbeza dengan kemunculan bentuk prosa. Malah, puisi dan prosa sering berkait rapat kerana kedua-duanya sering seiring atau berselang-seli dalam sebarang bentuk upacara dan adat masyarakat Melayu. Menurut Mohd Sharifudin Yusop dan Mohd Lani Sobi (1999), puisi tradisional seperti pantun, gurindam, seloka, teromba dan mantera sering digunakan sebagai penyeri dan penyimpul yang bermakna dan meninggalkan kesan estetik di samping mengandungi nilai dan moral.

Salah satu daripada puisi tradisional Melayu yang diungkap dalam situasi santai ialah gurindam. Gurindam mempunyai dua baris serangkap. Kedua-dua baris tersebut mempunyai makna atau isi yang ingin dikemukakan. Jumlah kata atau suku kata dalam setiap baris tidak terhad tetapi rima akhirnya berbentuk a-a. Kata-kata yang digunakan perlulah bernas dan tersusun dengan kemas walaupun bahasa yang digunakan lebih kepada bernada riang. Tujuannya ialah untuk menarik perhatian dan menimbulkan rasa suka kepada khalayak yang mendengarnya. Lazimnya, gurindam digunakan untuk menyampaikan nasihat, pengajaran dan sindiran namun cara pengucapannya adalah lebih kepada bersifat santai dan penyampaian yang halus. Hal ini demikian untuk mengelakkan orang yang mendengar berasa kecil hati walaupun terasa dengan sindiran dan teguran tersebut. Gurindam yang terkenal ialah Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji atau nama penuhnya ialah Raja Ali Haji bin Raja Ahmad.

Raja Ali Haji yang mengarang Gurindam Dua Belas turut juga dikenali sebagai Engku Haji Tua dan lahir pada 1809 di Pulau Penyengat, Riau. Sumbangan beliau dalam persuratan Melayu tidak dapat disangkal kerana beliau telah pun menghasilkan pelbagai karya khususnya karya-karya yang bertemakan Islam. Gurindam Dua Belas ini juga bertemakan Islam. Selain Gurindam Dua Belas, antara karya-karya beliau ialah Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai dan Syair Sinar Gemala Mustika Alam.

Gurindam Dua Belas ini siap dikarang pada 1847 Masihi. Gurindam ini mempunyai dua belas Fasal dan dikategorikan sebagai Syi’r Al-Irsyadi kerana berunsurkan nasihat dan petunjuk hidup yang didasarkan kepada jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Gurindam ini diterbitkan pada tahun 1854 dalam Tijdschrft van het Bataviaasch Genootschap No. II, Batavia dengan tulisan jawi dan diterjemahkan ke dalam bahasa Belanda oleh Elisa Netscher.


2.0         Pemikiran

Merujuk kepada makna pemikiran yang dinyatakan oleh Mohd Rashid Md Idris, Abd Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya (2014), pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah fikiran yang bernas dan signifikan. Dalam konteks kepengarangan, pemikiran ini lebih kepada cara pengarang menghasilkan karyanya. Maknanya, setiap orang pengarang mempunyai teknik atau kaedah tersendiri yang merupakan perkembangan ideanya sehingga dapat menjadikan mesej karya tersebut menjelma.  Misalnya, cara penulisan Raja Ali Haji berbeza dengan Abdullah Munsyi kerana mempunyai latar belakang, kerjaya dan pengalaman yang berbeza. Pemikiran yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji ini adalah seperti berikut:


i.               Kehidupan mementingkan kesantunan dan kesopanan

Sifat bersopan dan hidup mementingkan kesantunan memang terkenal dalam kalangan masyarakat di rantau Asia ini. Tamadun Melayu yang menjadi latar kepada Raja Ali Haji semasa menghasilkan karya ini mencerminkan bahawa kesantunan dan kesopanan perlu dititikberatkan menjadi salah satu pemikiran yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas ini. Pengarang cuba untuk menasihati pembaca supaya sentiasa mengamalkan gaya hidup yang bersopan santun dan berpegang kepada ajaran agama Islam. Contohnya seperti berikut:

Jika hendak mengenal orang berbangsa
Lihat kepada budi dan bahasa

Berdasarkan contoh tersebut, pengarang cuba untuk menyatakan bahawa orang yang mulia dan berbangsa dapat dilihat dari perilaku dan tutur katanya. Jadi, kesantunan dan kesopanan seseorang menjadi cerminan kepada identiti dan sosial dirinya. Seseorang yang mengamalkan nilai kesantunan dan kesopanan dalam dirinya akan menjadikan dirinya dipandang tinggi orang masyarakat sekelilingnya. Berdasarkan konteks, tingginya santun seseorang itu akan menjadikan bangsanya juga dipandang sebagai bangsa yang mementingkan nilai kesantunan dalam kehidupan mereka. Salah satu perwatakan orang Islam yang unggul ialah sentiasa bersopan-santun dalam kehidupan sehariannya.


ii.             Kehidupan mementingkan agama

Pemikiran yang ditonjolkan oleh pengarang dalam gurindam ini ialah tentang kepentingan agama dalam kehidupan manusia di dunia ini. Dalam fasal yang pertama, pengarang gurindam ini banyak menyentuh tentang hubungan manusia dengan Tuhannya. Manusia perlu mempunyai agama kerana tanpa agama manusia mudah untuk melakukan dosa dan buta arah semasa menjalankan hidupnya. Pengarang ini menjelaskan konsep hubungan manusia dengan Tuhan, iaitu Allah SWT. Pengarang menyatakan hubungan manusia dengan Allah perlu dijaga kerana melaluinya manusia tidak akan lalai dengan dunia. Contohnya seperti berikut:

Barang siapa tiada memegang agama
Segala-gala tiada boleh dibilang nama

Barang siapa mengenal yang empat
Maka yaitulah orang yang ma’rifat

Barang siapa mengenal Allah
Suruh dan tegaknya tiada ia menyalah

Berdasarkan contoh tersebut, pengarang menyatakan bahawa setiap manusia perlu mempunyai agama bagi mengelakkannya dari buta arah semasa menjalankan kehidupannya. Jelas bahawa pengarang mengetengahkan pemikiran bahawa manusia perlu mempunyai agama dan menjalani kehidupan berlandaskan agama yang dianutinya. Seterusnya, dalam konteks agama Islam pengarang mengetengahkan bahawa untuk mencapai kesempurnaan dalam kehidupan, manusia perlu mengenali empat perkara, iaitu syari’at, tarikat, hakikat dan makrifat. Seterusnya, pengarang juga menyatakan bahawa orang yang mengenal Allah SWT harus mematuhi perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Maknanya, manusia perlu tahu halal dan haram sesuatu itu bagi menjamin hubungannya dengan pencipta.


iii.           Kehidupan mementingkan tingkah laku yang baik.

Pemikiran yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji ini yang selanjutnya ialah kepentingan menjaga tingkah laku dalam kehidupan berlandaskan jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Cara Raja Ali Haji mencurahkan fikiran dan perasaannya menggunakan perkataan-perkataan yang senang difahami menjadikan nasihat yang cuba disampaikan mudah difahami. Berdasarkan latar belakang pendidikan pengarang, pengarang menasihati pembaca supaya sentiasa berbuat baik agar hubungan sesama manusia dapat dijaga. Setiap perlakuan perlu difikirkan kesannya kepada diri sendiri dan orang sekitarnya. Contohnya seperti berikut:

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan
Daripada segala berat dan ringan

Apabila perut terlalu penuh
Keluarlah fi’il yang tidak senonoh

Anggota tengah hendaklah ingat
Di situlah banyak orang yang hilang semangat

Hendaklah peliharakan kaki
Daripada berjalan yang membawa rugi

Berdasarkan contoh tersebut, pengarang cuba menasihati supaya kita mengelakkan diri dari melakukan perkara yang salah dan menyimpang dari pegangan agama kita. Berdasarkan contoh, pengarang menyatakan bahawa sekiranya manusia dapat mengawal dirinya, pelbagai kesilapan yang salah dapat dielakkan. Contohnya, manusia boleh mengelakkan diri dari mengambil barang yang bukan haknya sekiranya dia mampu mengawal tangannya. Semua anggota badan akan dapat dikawal sekiranya manusia itu tetap berpegang kepada ajaran agamanya.

Dalam hidup ini, seseorang yang mampu mengawal tingkah lakunya akan mendapatkan keuntungannya seperti yang dinyatakan pada bait ‘Apabila terpelihara lidah, nescaya dapat daripadanya faedah’. Perkara yang sama juga berlaku sekiranya kita mengawal haluan kita, iaitu kaki, kita akan dapat mengelakkan diri daripada maksiat. Setiap perkara yang salah dari segi agama akan menjadikan manusia itu rugi manakala perkara sebaliknya berlaku jika berperlakuan sebaliknya.


iv.           Hubungan dalam keluarga

Dalam Gurindam Dua Belas ini, pada fasal yang kesepuluh Raja Ali Haji menyatakan tentang hubungan kekeluargaan. Keluarga merupakan satu pertalian yang sukar untuk diputuskan. Dalam kehidupan ini, kita sering diajar supaya sentiasa mengekalkan kerukunan hubungan kekeluargaan. Ibu bapa dan anak-anak perlu sentiasa menghormati antara satu sama lain. Lihat contoh berikut:

Dengan bapa jangan derhaka
Supaya Allah tidak murka

Dengan ibu hendaklah hormat
Supaya badan dapat selamat

Dengan anak janganlah lalai
Supaya boleh naik ke tengah balai


Berdasarkan contoh tersebut, pengarang menggambarkan bahawa Allah tidak murka sekiranya anak itu menghormati seorang yang bergelar ayah. Maknanya seorang anak tidak boleh derhaka kepada ayahnya kerana itu bertentangan dengan ajaran agama Islam. Selain itu, anak juga perlu sentiasa patuh dan hormat kepada ibunya kerana dalam konteks masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu meletakkan kedudukan seorang ibu di kedudukan yang mulia. Buktinya kewujudan peribahasa ‘Syurga itu di bawah tapak kaki seorang ibu’. Di sini kita melihat pengarang ingin menunjukkan kepada kita bahawa orang tua perlu dihormati dan dipatuhi supaya Allah menyukai kita.




3.0         Falsafah

Mohd Rashid Md Idris, Abd Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya (2014) menyatakan bahawa maksud falsafah ialah cinta kepada ilmu dan kebenaran. Falsafah juga merupakan pemikiran yang tertinggi dan tujuannya ialah untuk mendapatkan kebenaran dalam hidup. Kebenaran ini dicari untuk kebenaran dan bertujuan untuk kebenaran. Definisi yang terdapat dalam kamus dewan (2010) pula ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang seterusnya menjadi dasar kepada ilmu-ilmu lain. Terdapat beberapa falsafah yang dapat dilihat dalam Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji.


i.               Falsafah metafizika

Mohd Rashid Md Idris, Abd Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya (2014) merujuk falsafah metafizika ini kepada pemikiran tentang kewujudan dan keberadaan. Maknanya, sebagai salah satu cabang utama ilmu falsafah, falsafah jenis ini lebih kepada membincangkan hakikat realiti, kewujudan dan dunia yang sebenarnya di luar alam. Konsep ini mendapat namanya dari perkataan Greek μετά (metá) (bermaksud "selepas") dan φυσικά (physiká) (bermaksud "yang mengenai alam"), "yang mengenai alam" merujuk kepada karya purba mengenai alam oleh Aristotle. Dalam Gurindam Dua Belas ini, Raja Ali Haji banyak menyebut dan menasihati tentang kewujudan Tuhan atau dalam konteks agama Islam ialah Allah SWT. Contohnya seperti berikut:

Barang siapa mengenal Allah
Suruh dan tegaknya tiada ia menyalah

Berdasarkan karya ini, penulis menyebut tentang hubungan manusia dengan Tuhan (hablum min Allah) .Contohnya dalam gurindam ini, penulis menyebut tentang kepentingan menjaga hubungan dengan Allah bagi menjamin kehidupan di dunia dan akhirat.



ii.                  Falsafah etika

Mohd Rashid Md Idris, Abd Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya (2014) menyatakan bahawa falsafah etika ini ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Unsur etika ini dikaitkan dengan perlakuan yang positif yang memberi manfaat kepada pelakunya dan orang di sekitarnya. Mardzelah Makhsin (2007) pula menyatakan bahawa etika ini bermaksud suatu ukuran dan piawaian yang digunakan bagi membezakan kelakuan seseorang sama ada baik atau buruk, menyenangkan ataupun tidak menyenangkan. Dalam Gurindam Dua Belas ini, pengarang menyatakan beberapa perkara yang elok dan sebaliknya. Antara etika yang tidak baik ialah suka marah, dengki mengumpat, bakhil dan berperlakuan kasar. Contohnya dalam fasal yang keempat, pengarang menyatakan beberapa perkara yang seharusnya dielakkan.

Apabila dengki sudah bertanah
Datanglah daripadanya beberapa anak panah

Mengumpat dam memuji hendaklah pikir
Di situlah banyak orang yang tergelincir

Pekerjaan marah jangan dibela
Nanti hilang akal di kepala

Jika sedikitpun berbuat bohong
Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung

Dalam fasal sepuluh pula, pengarang turut menggunakan falsafah etika, iaitu menasihati pembaca supaya sentiasa patuh terhadap orang tua supaya mendapat redha daripada Allah SWT. Selain itu, pengarang turut menegaskan supaya sentiasa menghormati seorang ibu agar selamat di dunia dan di akhirat kelak. Untuk ibu bapa, pengarang menasihati supaya sentiasa membimbing anak dan bimbingan tersebut perlu bermula dari kecil lagi agar anak tersebut menjadi orang yang berjaya di jalan kebenaran.


iii.           Falsafah politik

Falsafah politik menurut Mohd Rashid Md Idris, Abd Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya (2014) ialah aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan sesebuah negara. Dalam Gurindam Dua Belas ini, falsafah berkaitan politik terdapat dalam Fasal Sebelas seperti berikut:

Hendaklah berjasa
Kepada yang sebangsa

Hendak jadi kepala
Buang perangai yang cela

Hendaklah memegang amanat
Buanglah khianat

Berdasarkan contoh berikut, Raja Ali Haji menasihati pemimpin atau pemegang amanah supaya sentiasa bantu-membantu dalam menunaikan bakti kepada negara. Selain itu, dapat dilihat pengarang menasihati pemimpin supaya sentiasa berperlakuan baik dan menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab.

Penggunaan perkataan ‘kepala’ dalam gurindam memang merujuk kepada ketua dan dalam konteks pemerintahan, ketua ialah pemimpin yang dipilih melalui sistem tertentu dan sudah tentunya melibatkan diri dengan dunia politik. Melalui Gurindam Dua Belas ini, pengarang cuba untuk menyatakan kepada pemimpin supaya sentiasa rasional dalam membuat keputusan dan mengelakkan diri daripada dipengaruhi emosi.


4.0         Kepengarangan dan estetika

Teknik kepengarangan membezakan hasil karya seseorang pengarang dengan pengarang yang lain. Merujuk kepada maksud yang dinyatakan oleh Mohd Rashid Md Idris, Abd Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya (2014), kepengarangan ialah keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. Kekuatan, keistimewaan dan kelemahan seseorang pengarang itu dapat dilihat dan dinilai berdasarkan kepada teknik kepengarangan yang digunakan olehnya.

     Menurut Mohd Rashid Md Idris, Abd Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya (2014), pendekatan estetika merujuk kepada aspek keindahan dan kekuatan sesebuah teks sastera. Estetik ialah rasa keindahan, keseronokan dan kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat. Dalam konteks kajian sastera, nilai estetika sangat berkait rapat dengan kesan pengalaman, perasaan, pemikiran, imaginasi dan wawasan. Keindahan ini terpamer dalam bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam karyanya.

Dalam Gurindam Dua Belas ini, sesuai dengan peribadi dan latar belakang Raja Ali Haji nasihat dan teguran tentang kehidupan yang berkaitan dengan agama Islam diketengahkan oleh pengarang. Beliau menunjukkan bahawa keperibadian seseorang itu akan terjaga sekiranya dia mengikut ajaran yang berlandaskan ajaran Islam. Keunggulan peribadi dikaitkan dengan kebijaksanaan seseorang menjaga hubungannya dengan Tuhan, menjaga tingkah laku, bersopan-santun dan sentiasa menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh keadilan.

Sesuai dengan format gurindam, Gurindam Dua Belas ini mempunyai dua baris serangkap. Setiap baris dalam Gurindam Dua Belas ini membawa makna yang saling berkesinambungan antara satu baris dengan baris yang lain. Raja Ali Haji meletakkan ‘syarat’ pada baris yang pertama manakala baris kedua menyatakan bahawa ‘jawapan’ bagi syarat tersebut. Baris pertama atau “syarat” menyatakan suatu fikiran atau peristiwa sedangkan baris kedua atau “jawab” menyatakan keterangan atau menjelaskan apa yang telah dinyatakan oleh baris atau ayat pertama tadi. Contohnya seperti berikut:

Apabila perut terlalu penuh
Keluarlah fi’il yang tidak senonoh
           
Selain itu, setiap bahagian atau fasal dalam gurindam tersebut mempunyai makna yang saling bertautan. Setiap fasal mempunyai makna yang tersendiri. Pembahagian seperti berikut:

i.                    Fasal satu dan dua     : Nasihat tentang agama dan rukun Islam.

ii.     Fasal tiga dan empat: Menerangkan budi pekerti dan tingkah laku lalu mengaitkannya dengan kawalan terhadap anggota badan yang bermula dari hati dan akal fikiran.

iii.      Fasal kelima dan keenam : Penerangan tentang pentingnya pendidikan dan pergaulan seharian.

iv.                Fasal ketujuh : Nasihat tentang didikan orang tua kepada anak-anak.

v.         Fasal kelapan : Nasihat agar tidak boleh dipercayai dan tidak boleh berprasangka buruk terhadap seseorang.

vi.                Fasal kesembilan : Nasihat tentang pergaulan antara bukan muhrim.

vii.              Fasal kesepuluh dan kesebelas : Nasihat tentang keagamaan dan budi pekerti.

viii.            Fasal kedua belas : Nasihat kepada pemimpin

Pengalaman pengarang yang hidup yang berlatarkan agama menjadikan nilai keagamaan tema untuk Gurindam Dua Belas ini. Di dalam gurindam ini, Raja Ali Haji telah memperlihatkan gaya penulisan berunsur Islam. Pengarang banyak merujuk kepada rukun Islam bagi mengukuhkan lagi kekuatan, kewibawaan dan interpretasi karya.  Dari Fasal Satu sehinggalah Fasal Kedua Belas, pengarang memasukkan nasihat yang berunsurkan keagamaan dan kepentingan pengamalannya dalam kehidupan seharian. Contohnya dalam Fasal Keenam, pengarang menyuruh pembaca bergaul dengan orang yang baik-baik supaya dirinya menjadi seorang yang baik kerana pergaulan tersebut secara tidak langsung mempengaruhi diri kita. Dalam Fasal Dua, pengarang menyatakan akibat orang yang meninggalkan solat, puasa, zakat dan menunaikan haji.

Raja Ali Haji juga menggunakan bahasa yang ringkas dan padat namun senang untuk difahami makna yang ingin disampaikan olehnya. Pembaca mudah untuk mengetahui nasihat yang cuba disampaikan dan tahap penerimaan boleh dikatakan setara dengan tahap tujuan gurindam ini dihasilkan. Hal ini seterusnya dapat menimbulkan perasaan seronok, insaf, sedar, tahu dan ingin melakukan dalam kalangan pembaca. Pembaca mudah terpengaruh dengan nasihat yang dinyatakan kerana perkataan dan ayat yang diolah sesuai dengan fungsi gurindam ini, iaitu untuk memberitahu dan menyampaikan nasihat. Secara tidak langsung, pembaca mudah untuk meletakkan diri mereka dalam situasi dan pengalaman yang diceritakan oleh pengarang ini.

Selain itu, diksi atau pilihan kata yang digunakan dalam gurindam ini adalah kata-kata yang menyatakan hubungan sebab-akibat atau sebaliknya. Pemilihan hubungan sebab-akibat dan akibat-sebab dalam gurindam ini adalah bertujuan untuk memperjelaskan lagi nasihat yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca.  Contohnya dalam Fasal Ketujuh seperti berikut:

Apabila kita kurang siasat
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat

Apabila anak tidak dilatih
Jika besar bapanya letih

Berdasarkan contoh, orang yang kurang berfikir sebelum melakukan sesuatu pasti mengakibatkan dirinya sesat dan keluar dari aturan yang sepatutnya. Sebab perkara tersebut berlaku dijelaskan dalam baris ‘Apabila kita kurang siasat’, iaitu apabila seseorang itu tidak berfikir sebelum bertindak atau melakukan sesuatu.

Selanjutnya, bahasa yang digunakan ialah bahasa agama. Beberapa istilah keagamaan dalam agama Islam digunakan dalam karya ini. Contohnya dalam Fasal Pertama seperti ma’rifat, akhirat dan Tuhan. Begitu juga dalam Fasal Kedua yang lebih banyak menyebut tentang rukun Islam, iaitu sembahyang yang merujuk kepada solat, puasa, zakat, berkat dan haji. Pemilihan perkataan-perkataan ini adalah bersesuaian dengan tujuan gurindam ini dihasilkan, iaitu untuk memberi nasihat tentang agama dan moral kepada pembacanya.

Selain itu, penggunaan bahasa klasik juga terdapat dalam karya ini. Hal ini demikian kerana gurindam ini terhasil pada 1847 Masihi. Misalnya dalam Fasal Keenam, iaitu cahari dan obat. Selain itu, beberapa perkataan bahasa klasik yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas ini ialah kuping, pikir, ketur, penggawa, kafill, cindai, inayat dan niscaya. Perkataan-perkataan tersebut masih menggunakan ejaan lama dan jarang digunakan dalam pergaulan seharian dewasa ini.

Secara keseluruhannya, karya Raja Ali Haji ini mempunyai nilai estetikanya tersendiri yang bersesuaian dengan tujuan karya ini dihasilkan. Pembaca mudah untuk terpengaruh dan memahami perkara yang ingin disampaikan oleh pengarang. Selain itu, pembaca mudah tahu latar belakang pengarang ini kerana teknik kepengarangan yang beliau gunakan.


5.0         Penutup

Kesimpulannya, Gurindam Dua Belas ini memang sebuah karya yang mempunyai nilai keindahannya tersendiri selain mengandungi makna yang mendalam. Pemikiran dan falsafah yang terkandung di dalamnya menjadikan karya ini terus unggul walaupun dikarang sudah bertahun lamanya.

Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji ini boleh dikatakan sebuah naskhah Nusantara yang berunsurkan Islam yang terkenal. Dari unsur berkaitan agama dan moral kepada tingkah laku dan seterusnya kepada kepimpinan baik dalam institusi kekeluargaan mahupun di peringkat pentadbiran sesebuah organisasi. Setiap lapisan masyarakat disentuhnya yang bermula daripada manusia biasa sehinggalah seorang pemimpin negara. Dengan erti kata lain, nasihat yang terdapat dalam gurindam ini merangkumi tentang ibadah, kewajiban raja, kewajiban anak, kewajiban orang tua, budi pekerti, dan hidup bermasyarakat yang boleh dijadikan pedoman hidup.





No comments:

Post a Comment